Waspada individu menyamar pegawai SPRM

SHAH ALAM - Seorang individu dipercayai menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu video yang tular di media sosial baru-baru ini.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya kewujudan individu terbabit sebagai pegawai suruhanjaya itu dan menegaskan tindakan berkenaan adalah tidak sah, menyalahi undang-undang serta boleh menjejaskan integriti institusi.
Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada sekiranya berhadapan dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai SPRM.
"Semak identiti pegawai SPRM melalui saluran rasmi sebelum memberikan sebarang maklumat atau kerjasama.
"Laporkan segera kepada SPRM sekiranya berdepan dengan sebarang insiden penyamaran," menurut kenyataan itu pada Ahad.
SPRM turut menegaskan bahawa perbuatan menyamar sebagai pegawai suruhanjaya itu merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut kenyataan itu, antara peruntukan yang boleh dikenakan ialah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Tindakan tambahan juga boleh diambil di bawah undang-undang lain yang berkaitan sekiranya penyamaran tersebut melibatkan unsur penipuan atau cubaan memperdaya masyarakat.
"Orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan atau maklumat sahih boleh menghubungi talian bebas tol SPRM di 1-800-88-6000 atau membuat semakan menerusi laman sesawang serta platform media sosial rasmi SPRM," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

