Kempen masih hambar, tiada parti kuasai momentum

MEMASUKI minggu kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, persaingan antara parti-parti utama masih belum mencapai tahap yang benar-benar mampu mengubah sentimen pengundi.
Berbanding kebiasaan pilihan raya yang menyaksikan ceramah besar dan perang persepsi yang rancak sejak hari pertama, kempen kali ini dilihat lebih berhati-hati, sederhana dan banyak tertumpu kepada pendekatan kelompok kecil serta gerak kerja akar umbi.
Situasi itu menyebabkan belum ada mana-mana parti yang boleh dianggap berjaya menguasai naratif atau mencipta momentum besar untuk mempengaruhi pengundi.
Secara tidak langsung, kempen minggu kedua menjadi fasa kritikal sebelum hari pengundian.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, sepanjang pemerhatiannya, kempen yang berlangsung ketika ini masih bersifat hambar dan tidak memperlihatkan persaingan agresif antara parti-parti bertanding.
Menurutnya, kebanyakan parti lebih banyak mengadakan program berskala kecil dan turun bertemu masyarakat di lokasi tumpuan berbanding menganjurkan ceramah mega seperti yang lazim berlaku di negeri lain.
"Kalau dilihat pada minggu pertama ini, kempen agak 'sejuk'. Parti-parti politik tidak begitu berani mengadakan program besar, sebaliknya lebih memilih pendekatan kelompok kecil.
"Calon pula lebih banyak bergerak sendiri dan turun bertemu rakyat di tempat-tempat mereka berkumpul. Belum nampak kempen yang benar-benar agresif," katanya kepada Sinar Harian.
Hisommudin turut berpendapat, budaya politik Johor juga berbeza berbanding beberapa negeri lain kerana hubungan antara penyokong parti di negeri itu lebih terbuka dan tidak terlalu bersifat konfrontasi.
Malah katanya, sebahagian besar pengundi tegar sebenarnya sudah mempunyai pendirian politik masing-masing dan tidak mudah dipengaruhi sepanjang tempoh berkempen.
Justeru, usaha mengulangi pendekatan tradisional seperti ziarah rumah ke rumah atau bertemu penyokong sendiri tidak lagi memberi impak besar kepada parti.
"Sasaran sebenar sekarang ialah pengundi yang belum membuat keputusan, terutama pengundi muda, pengundi kali pertama dan mereka di atas pagar," jelasnya.
Hisommudin berkata, sehingga kini belum ada mana-mana parti yang boleh dianggap paling berjaya dari sudut kempen atau penggunaan media sosial kerana keberkesanannya berbeza mengikut kawasan DUN.
Bagaimanapun beliau menjangkakan rentak kempen akan berubah apabila memasuki minggu kedua dengan parti-parti dijangka tampil lebih agresif bagi meraih sokongan kelompok pengundi yang masih belum membuat keputusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

