Penduduk sangka ‘air berkat’, rupanya air paip bocor

Penduduk berpusu-pusu mengambil air berkenaan. Foto: Jawa Post
Penduduk berpusu-pusu mengambil air berkenaan. Foto: Jawa Post
A
A
A

JAKARTA — Tular di media sosial satu video memaparkan sekumpulan penduduk mengambil air dari kawasan pekarangan tapak sebuah rumah penduduk di Desa Kandangmas, Kecamatan Dawe, Kabupaten Kudus, selepas menyangka air jernih yang mengalir itu merupakan 'air berkat' yang dipercayai membawa manfaat kesihatan.

Dalam video berkenaan, penduduk dilihat membawa baldi dan bekas air untuk menadah air yang keluar dari kawasan tapak pekarangan rumah tersebut, selepas mendapati aliran air itu kelihatan jernih dan mengalir secara berterusan.

Ketua Desa Kandangmas, Sofwan, mengesahkan kejadian itu dan menyatakan kemunculan air jernih berkenaan pada awalnya menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan penduduk sehingga ramai datang ke lokasi untuk mengambilnya.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati air tersebut bukan berasal daripada mata air semula jadi, sebaliknya berpunca daripada kebocoran paip milik syarikat bekalan air tempatan Perusahaan Daerah Air Minum (PDAM).

Kebocoran itu menyebabkan air mengalir keluar melalui struktur asas rumah, sekali gus menimbulkan tanggapan bahawa ia merupakan sumber air semula jadi.

Pihak berkaitan kemudian segera menjalankan kerja pembaikan bagi menutup kebocoran paip berkenaan, dan aliran air berjaya dihentikan sepenuhnya.

Insiden itu turut mencetuskan perbincangan hangat di media sosial apabila ramai mengakui pada awalnya turut menyangka ia fenomena alam semula jadi sebelum disahkan berpunca daripada sistem paip air yang rosak. -Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!