Isteri sedut bisa ular tedung demi selamatkan suami, akhirnya turut kena bisa

BEIJING- Seorang wanita di wilayah Yunnan dimasukkan ke hospital selepas mengalami keracunan apabila cuba menyedut bisa ular tedung daripada tangan suaminya yang dipatuk haiwan berbisa itu.
Kejadian berlaku di daerah Yuanyang County ketika lelaki berkenaan sedang bekerja di ladang sebelum diserang ular tedung yang menggigit jarinya.
Menurut laporan, wanita itu bertindak dalam keadaan panik selepas kejadian tersebut dan cuba mengeluarkan bisa dari luka gigitan dengan cara menyedutnya menggunakan mulut, berdasarkan apa yang pernah dilihat dalam rancangan televisyen.
Namun, tidak lama kemudian, dia mula mengalami kebas pada bahagian mulut, lidah, muka dan anggota badan sebelum keadaannya bertambah teruk pada keesokan hari.
Kedua-dua mereka kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan selepas mengalami simptom keracunan akibat bisa ular tedung.
Pihak hospital mengesahkan kedua-duanya dirawat dengan suntikan antivenom serta rawatan sokongan sebelum keadaan mereka stabil beberapa hari kemudian.
Pakar perubatan menjelaskan bahawa tindakan menyedut bisa ular adalah berbahaya dan tidak berkesan, kerana toksin boleh memasuki aliran darah melalui rongga mulut dengan cepat.
Mereka turut menegaskan bahawa kaedah seperti menghiris luka, menyedut bisa, atau menggunakan ais dan haba adalah tidak digalakkan kerana boleh memburukkan keadaan mangsa.
Sebaliknya, mangsa gigitan ular perlu segera mendapatkan rawatan kecemasan dan mengurangkan pergerakan bagi mengelakkan racun merebak lebih cepat.
Kes ini turut tular di media sosial China, dengan ramai netizen menyifatkan insiden tersebut sebagai pengajaran bahawa kaedah dalam drama televisyen tidak boleh dijadikan panduan dalam situasi sebenar. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

