Lelaki maut, motosikal terbakar dirempuh kereta

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di Penampang pada Isnin.
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di Penampang pada Isnin.
A
A
A

PENAMPANG - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan dan terbakar dalam kejadian di Jalan Kota Kinabalu-Papar Kilometer 17 di sini pada Isnin. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun yang tercampak dari motosikal mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dan motosikal yang ditunggang mangsa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.

Bagaimanapun katanya, kereta tersebut dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar motosikal sehingga menyebabkan kenderaan itu terseret sebelum terbakar.

"Mangsa tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan.

Arisanti berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk dibedah siasat.

"Pihak polis telah menahan pemandu tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arisanti dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar di lokasi bagi menjaga sensitiviti keluarga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!