Gelombang haba ragut ribuan nyawa di Eropah

BRUSSELS – Gelombang haba luar biasa yang melanda Eropah sejak penghujung Jun dilaporkan telah mengorbankan ribuan nyawa, manakala beberapa negara terus mencatat rekod suhu tertinggi apabila cuaca panas melampau bergerak ke bahagian timur benua itu.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, lebih 1,300 kematian direkodkan di seluruh Eropah sejak 21 Jun.

Beliau berkata, Eropah kini merupakan benua yang paling pantas mengalami pemanasan, iaitu pada kadar dua kali ganda lebih tinggi daripada purata global.
"Didorong perubahan iklim dan pemanasan global, fenomena gelombang haba yang dahulunya berlaku sekali dalam satu generasi kini hampir menjadi kejadian tahunan," katanya menerusi hantaran di platform X.
Menurut pakar, walaupun tidak semua kematian berpunca secara langsung daripada suhu panas, gelombang haba sememangnya meningkatkan kadar kematian, terutama dalam kalangan golongan berisiko.
Agensi Kesihatan Awam Perancis memaklumkan kebanyakan mangsa yang meninggal dunia berusia 65 tahun ke atas, namun cuaca panas ekstrem turut menjejaskan kesihatan semua lapisan masyarakat.
Pensyarah Institut Grantham bagi Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Imperial College London, Garyfallos Konstantinoudis berkata, tekanan haba berlaku apabila tubuh gagal mengawal suhu badan sehingga menyebabkan dehidrasi, keletihan haba dan strok haba.
Katanya, strok haba boleh menyebabkan suhu badan melebihi 40 darjah Celsius, selain mengakibatkan kekeliruan, kehilangan kesedaran, degupan jantung yang pantas, kegagalan organ dan kematian jika tidak dirawat segera.

Beliau berkata, tekanan haba turut meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan kegagalan sistem pernafasan, khususnya dalam kalangan warga emas, orang kurang upaya serta individu yang tidak mempunyai akses kepada tempat perlindungan atau bekalan air mencukupi.
Fenomena kubah haba
Pakar meteorologi menjelaskan gelombang haba kali ini berpunca daripada fenomena kubah haba, iaitu kawasan tekanan udara tinggi yang memerangkap udara panas di sesuatu kawasan untuk tempoh yang panjang.
Fenomena itu diperkukuhkan oleh corak atmosfera dikenali sebagai omega block, yang mengganggu aliran biasa arus udara dan menyebabkan udara panas kekal di kawasan sama selama beberapa hari atau minggu.
Saintis turut menegaskan perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadikan gelombang haba kini berlaku jauh lebih kerap dan lebih ekstrem.
Menurut Laurie Parsons dari Royal Holloway, University of London, suhu purata global kini meningkat sekitar 1.25 darjah Celsius berbanding era praindustri, manakala pada 2024 peningkatan itu mencecah 1.55 darjah Celsius.

Beliau berkata, gelombang haba seperti yang berlaku ketika ini adalah kira-kira 30 kali lebih berkemungkinan berlaku berbanding sebelum perubahan iklim, manakala fenomena yang dahulunya hanya berlaku sekali dalam tempoh 300 tahun kini boleh berulang lebih daripada sekali dalam sedekad.
Bagi menangani krisis itu, beberapa negara Eropah mula melaksanakan pelbagai langkah perlindungan.
Kesatuan Konfederasi Kesatuan Sekerja Eropah pula menggesa Suruhanjaya Eropah menggubal undang-undang menetapkan had maksimum suhu di tempat kerja bagi melindungi pekerja.
Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), sektor penyejukan dijangka menyumbang kira-kira 10 peratus pelepasan gas rumah hijau global menjelang 2050 jika tiada perubahan dilakukan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
