Peminta sedekah zaman moden ada QR, ada iPhone

MERAK Jalanan teringat satu kejadian ketika sedang makan di sebuah gerai tepi jalan. Perut tengah lapar, makanan baru separuh jalan, tiba-tiba datang seorang lelaki. Secara zahirnya nampak sihat sahaja, tiada apa yang cacat cela.
Tujuannya nak minta sedekah. Bukan RM1 atau RM2 yang dimahukan tapi terus minta RM5 atau lebih. Di lehernya pula tergantung kod respons pantas (QR). Katanya, kalau tiada wang tunai, boleh online sahaja. Zaman sekarang minta sedekah pun dah naik taraf ke digital.
Merak Jalanan malas nak layan, jadi memang buat tak tahu sahaja sambil teruskan makan. Bukan tak kasihan tapi rasa ralat kalau kena tipu. Ketika mengemis, tiada sebelah kaki tapi tiba-tiba jumpa di tempat lain, elok pula ada dua kaki.
Jadi, lebih baiklah jika Merak Jalanan bersedekah sahaja kepada masjid, surau atau keluarga yang benar-benar dalam kesusahan.
Lelaki tadi pula nampak jelas riak kurang senangnya dengan ‘penolakan’ Merak Jalanan. Dia menjeling dan beredar ke meja lain.
Namun cerita tidak terhenti di situ. Ketika mahu ke tandas, Merak Jalanan terlihat lelaki tadi sedang bercakap di telefon sambil menghisap rokok. Yang menarik perhatian kerana dia memiliki iPhone.
Kalau benar dalam kesusahan, bagaimana dia boleh memiliki telefon pintar yang ‘mewah’? Merak Jalanan cuba bersangka baik, mungkin itu telefon pinjam, mungkin itu telefon yang dibayar secara ansuran atau mungkin dia sebenarnya orang kaya yang sedang menyamar?
Merak Jalanan bukan mahu menghukum sesiapa tetapi situasi begini buat orang jadi serba salah. Antara rasa simpati dan sakit hati, antara mahu menghulurkan bantuan atau bimbang jadi mangsa penipuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
