UNITEN hasilkan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan

Naib Canselor UNITEN, Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha (kiri) melihat proses pembuatan pelindung muka dengan menggunakan pencetak 3D di UNITEN baru-baru ini.
Naib Canselor UNITEN, Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha (kiri) melihat proses pembuatan pelindung muka dengan menggunakan pencetak 3D di UNITEN baru-baru ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kolej Kejuruteraan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka atau face shield untuk kegunaan barisan hadapan dalam memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Dekannya, Profesor Ir Dr Izham Zainal Abidin berkata, projek itu dibiayai menerusi sumbangan daripada warga UNITEN dan dilaksanakan oleh pasukan UNITEN Face Shield dengan menggunakan pencetak 3D sejak awal April lalu.

“Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini, kita mengkaji apa yang mampu kita sumbangkan melalui kepakaran yang ada dan di sinilah inisiatif terhasilnya untuk membantu menyediakan kelengkapan kepada barisan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelindung muka yang dihasilkan UNITEN itu mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus sebagai langkah perlindungan keselamatan dan memastikan barisan hadapan menggunakan produk yang berkualiti bagi mengelakkan mereka terdedah secara langsung dengan virus Covid-19.

Bahan yang digunakan bagi menghasilkan pelindung muka ini adalah 3D filaments yang diperbuat daripada polimer seperti PLA atau ABS dan helaian pelindung plastik.

Penyerahan Sumbangan UNITEN Face Shield sebanyak 90 unit kepada komuniti Team Face Shield Kajang-Bangi disempurnakan oleh Naib Canselor UNITEN, Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha baru-baru ini.

Sementara itu, Izham berkata, pasukan UNITEN Face Shield bergabung tenaga dalam melicinkan urusan pengagihan pelindung muka kepada petugas barisan hadapan bersama syarikat RcBotz Engineering yang dimiliki oleh dua siswazah UNITEN iaitu Muhammad Husni Faiz Khamarudin dan Muhammad Fahmi Abdul Ghani.

“RcBotz adalah wakil daripada komuniti Team Face Shield Kajang-Bangi yang mengagihkan pelindung muka kepada hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan yang terdapat di sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurut Izham, pihaknya kini mencari mana-mana syarikat atau individu yang memiliki mesin pencetak 3D untuk berkolaboratif dengan UNITEN untuk meningkatkan jumlah penghasilan produk pelindung muka dalam masa terdekat.

“Lebih banyak mesin pencetak 3D yang beroperasi bermakna lebih banyak unit pelindung muka dapat dihasilkan dalam tempoh sehari.

"Kami mempunyai tiga buah unit mesin cetakan 3D yang digunakan untuk tujuan ini yang mana mesin mempunyai kemampuan untuk menghasilkan 20 unit pelindung muka sehari,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan UNITEN Face Shield mensasarkan untuk menghasilkan sebanyak 1,000 unit pelindung muka dalam tempoh sehari demi memenuhi permintaan yang tinggi pada masa kini.