Hotel pertama di dunia dikendalikan robot

Ia bakal menyaksikan robot mengambil alih kesemua peranan dalam industri hospitaliti termasuk kaunter daftar masuk, khidmat bilik, pembersihan, penyediaan makanan dan sokongan tetamu.
Ia bakal menyaksikan robot mengambil alih kesemua peranan dalam industri hospitaliti termasuk kaunter daftar masuk, khidmat bilik, pembersihan, penyediaan makanan dan sokongan tetamu.
A
A
A

BEIJING - China maju setapak lagi apabila hotel pertama di dunia yang dioperasikan sepenuhnya oleh robot dijadualkan dibuka kepada orang ramai pada 2027.

Ia terletak di Pulau Buatan Barat yang menghubungkan jambatan dan laluan terowong Shenzhen-Zhongshan (ShenZhong Link) di wilayah Guangdong.

Ia bakal menyaksikan robot mengambil alih kesemua peranan dalam industri hospitaliti termasuk kaunter daftar masuk, khidmat bilik, pembersihan, penyediaan makanan dan sokongan tetamu.

Sebelum ini, Pudu Robotics yang berpusat di Shenzhen telah menggunakan robot dihasilkan mereka dalam pelbagai sektor runcit, makanan dan minuman serta pembersihan.

Pudu dan Industri Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Shenzhen akan bekerjasama untuk menjadikan Pulau Buatan Barat yang dibuka pada Disember 2025 sebagai destinasi khusus robotik serta teknologi untuk pelancong.

Operasi hotel itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan percubaan pertama dijangka bermula pada akhir tahun ini melibatkan beberapa bilik dan perkhidmatan robot untuk orang awam.

Pengunjung awal akan dapat merasai pengalaman daftar masuk menggunakan robot dan penghantaran dalam bilik secara automatik.

Robot penghantaran perkhidmatan bilik sudah pun digunakan di hotel-hotel di bandar besar termasuk di Shenzhen.

Di Shanghai pula, Lapangan Terbang Shangri-La Hongqiao telah menggunakan robot humanoid XMAN-R1 di kaunter hadapan manakala robot lain mengendalikan penghantaran bilik, pengurusan bagasi dan pembersihan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, hotel itu bukan sekadar ruang pintar dengan robot membantu kakitangan manusia. Ia akan direka sebagai 'ekosistem perkhidmatan robot' yang berfungsi sepenuhnya dan saling berhubung dikendalikan oleh perkakasan serta perisian Pudu untuk mengurus operasi secara pintar.

Hotel tersebut juga menyediakan 44 bilik mewah, sebuah restoran, gimnasium dan pelbagai kemudahan lain untuk tetamu yang akan dihubungkan melalui sistem perkhidmatan pintar gelung tertutup yang memastikan setiap aspek perkhidmatan berfungsi secara bersepadu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!