Format 48 pasukan menguntungkan wakil Afrika

FORMAT baharu 48 pasukan Piala Dunia membawa perubahan besar terhadap landskap bola sepak dunia, dengan benua Afrika muncul antara penerima manfaat paling ketara daripada peluasan kejohanan itu.
Dengan pertambahan slot kelayakan, 10 wakil Afrika berjaya menembusi pentas Piala Dunia.
Daripada jumlah itu, hanya Tunisia gagal melangkah ke pusingan kalah mati, manakala selebihnya terus kekal bersaing dalam kelompok terbaik kejohanan.
Antara kisah paling mencuri tumpuan ialah kemaraan Cape Verde yang membuat penampilan sulung tetapi berjaya mara ke pusingan kalah mati.
Negara kepulauan dengan populasi sekitar 500,000 penduduk itu turut mencatat keputusan seri menentang Sepanyol (0-0) dan Uruguay (2-2), sekali gus menampilkan kejutan besar dalam saingan kumpulan.
Pada edisi kali ini juga menyaksikan wakil Afrika bukan lagi hadir sebagai pelengkap jadual, sebaliknya mampu menyaingi pasukan pilihan dari Eropah dan Amerika Selatan.
Situasi itu sekali gus mengukuhkan pandangan bahawa jurang kualiti antara benua semakin mengecil di pentas tertinggi.
Bintang Algeria, Riyad Mahrez menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti peningkatan bola sepak Afrika.
“Apabila sembilan atau lebih pasukan Afrika layak ke peringkat seterusnya, itu menunjukkan kualiti sebenar yang mereka miliki,” katanya.
Jurulatih Republik Demokratik Congo, Sebastien Desabre pula berpendapat perkembangan positif itu hadir hasil penambahbaikan struktur bola sepak di benua berkenaan, termasuk aspek kejurulatihan dan pembangunan pemain muda.
Maghribi terus menjadi antara contoh paling menonjol apabila mengekalkan prestasi konsisten selepas mencipta sejarah sebagai pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir edisi lalu.
Aksi meyakinkan mereka menentang Brazil turut mengukuhkan keyakinan bahawa pencapaian lebih besar mampu dicapai.
Ketua jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi berkata keyakinan dalam kem pasukan kini berada pada tahap tinggi dengan sasaran yang lebih besar di pentas dunia.
Secara keseluruhan, format 48 pasukan dilihat memberi ruang lebih luas kepada negara-negara Afrika untuk menyerlah, sekali gus mengubah landskap persaingan tradisional di pentas Piala Dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
