Bara kembali menyala di Asia Barat

TEHERAN - Iran melancarkan serangan balas untuk hari ketiga berturut-turut pada Ahad yang sekali lagi mengheret negara Teluk ke dalam konflik bersama Amerika Syarikat (AS).
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa operasi berskala besar itu menyasarkan lapan kemudahan ketenteraan penting AS di Pangkalan Ali al-Salem di Kuwait dan Pangkalan Tentera Laut Armada Kelima di Pelabuhan Salman di Bahrain.
"Sebarang pencerobohan musuh, tanpa mengira alasannya termasuk terhadap sasaran yang dianggap tidak penting akan menerima tindak balas yang tegas," menurut kenyataan itu.
Usaha ke arah perdamaian antara kedua-dua negara semakin terjejas apabila kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata yang rapuh.
Kandungan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh AS dan Iran pada 17 Jun lalu menetapkan bahawa kedua-dua negara serta sekutu masing-masing tidak akan memulakan peperangan atau operasi ketenteraan terhadap satu sama lain selain mengelakkan sebarang bentuk atau menggunakan kekerasan.
Konflik terbaharu itu yang sudah dapat dijangka kembali mengganggu pelayaran melalui Selat Hormuz selain menggugat pasaran tenaga global.
IRGC turut memaklumkan ia sedang memperketatkan kawalan trafik di laluan strategik tersebut dan memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan lebih tegas berbanding sebelum ini.
Satu-satunya laluan pelayaran yang dibenarkan oleh Teheran adalah melalui koridor di sepanjang pesisir pantai Iran.
Pada Sabtu, Presiden Donald Trump sekali lagi menggunakan retorik ugutan apabila menyatakan Iran 'akan musnah' sekiranya AS kembali melancarkan perang.
Ancaman itu dibuat selepas tentera AS membedil beberapa sasaran di Teheran kononnya sebagai tindak balas terhadap siri serangan ke atas kapal di Selat Hormuz. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

