Mohd Redzuan tinjau makmal pembuatan UTeM Shield

Mohd Redzuan (tengah) melihat bagaimana cara pemakaian pelindung muka yang dihasilakan UTeM untuk para frontliners.
Mohd Redzuan (tengah) melihat bagaimana cara pemakaian pelindung muka yang dihasilakan UTeM untuk para frontliners.
A
A
A

MELAKA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengadakan lawatan rasmi ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini bagi meninjau pembuatan pelindung muka yang direka untuk pasukan barisan hadapan bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Menurut satu kenyataan media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini, pelindung muka yang dinamakan 'UTeM Shield' itu dihasilkan sepenuhnya dengan mesin bertaraf industri di Makmal Teknologi Plastik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

Kenyataan itu menyebut, penghasilan pelindung muka itu merupakan inisiatif UTeM untuk membekalkan kelengkapan pelindung kepada pasukan barisan hadapan Covid-19 iaitu pegawai perubatan, pegawai kesihatan, polis, askar, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pekerja pembersihan.

"Pelindung muka terbabit direka dengan menggunakan ilmu teknikal dan teknologi terkini pemotong/potongan laser serta cetakan 3D yang boleh menghasilkan sebanyak 500 unit UTeM Shield sehari.

"Rekabentuk rangka utama UTeM Shield ini dibangunkan susulan perbincangan dan maklum balas bersama pegawai perubatan dari Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar serta Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

"Ia bagi memastikannya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan seterusnya mengurangkan risiko jangkitan terhadap pasukan 'frontliner' kita," katanya.

Mohd Redzuan (tengah) diberi taklimat mengenai pembuatan UTeM Shield.
Mohd Redzuan (tengah) diberi taklimat mengenai pembuatan UTeM Shield.

Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini, bekalan UTeM Shield ini digunakan untuk kegunaan dalaman UTeM, pusat-pusat kesihatan, polis dan tentera sekitar Melaka, serta kepada penyumbang dana yang menghantarnya kepada pihak yang mereka pilih.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, UTeM dijangka dapat memenuhi permintaan dari seluruh negara mulai minggu hadapan hasil daripada peningkatan pengeluaran.

"Biarpun ketika ini sudah ada permintaan dari luar negara seperti Jepun, Indonesia dan Filipina, keutamaan diberikan kepada pelanggan tempatan terlebih dahulu,"katanya.

Tinjauan pembuatan pelindung muka itu turut disertai Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Raha Abdul Rahim serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Selain tinjauan itu, Mohd Redzuan turut meluangkan masa melawat Projek UTeM Intubation Shield yang dihasilkan bertujuan untuk melindungi pegawai perubatan dan petugas kesihatan semasa menjalankan prosedur intubasi terhadap pesakit yang dijangkiti Covid-19.

UTeM Intubation Shield akan digunakan oleh pegawai perubatan dan petugas kesihatan di hospital-hospital di sekitar negeri Melaka.