Raja dan politik

DARIPADA 195 negara di seluruh dunia, sebanyak 43 negara masih mengekalkan sistem pemerintahan beraja atau monarki dalam sistem pemerintahan moden.
Terdapat negara yang rajanya masih mempunyai pengaruh politik secara langsung, manakala ada juga yang hanya berperanan sebagai ketua negara mengikut perlembagaan.
Antara raja yang masih mempunyai kuasa politik ialah Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang memerintah Arab Saudi sebagai ketua negara dan ketua kerajaan.
Raja Salman mempunyai kuasa melantik menteri, menentukan dasar utama negara serta membuat keputusan penting.
Di Oman pula, Sultan Haitham bin Tariq mempunyai kuasa eksekutif yang luas termasuk melantik kabinet dan menentukan dasar negara.
Sementara itu, di Kuwait, walaupun mempunyai Parlimen, Emir Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah memainkan peranan penting dalam politik termasuk melantik perdana menteri dan meluluskan pembentukan kerajaan.
Qatar pula diperintah oleh Emir Tamim bin Hamad Al Thani yang mempunyai kuasa besar dalam pentadbiran, dasar luar dan keselamatan negara.
Eswatini pula diperintah oleh Raja Mswati III, sebuah monarki mutlak yang masih wujud dengan raja mempunyai kuasa melantik kerajaan dan mempengaruhi proses perundangan.
Bagi negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang tidak terlibat dalam politik kepartian serta bertindak atas nasihat kerajaan ialah Malaysia, United Kingdom, Jepun, Sweden, Norway, Denmark, Belanda dan Sepanyol.
Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai beberapa kuasa budi bicara dalam keadaan tertentu, seperti melantik Perdana Menteri yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong juga boleh tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen dalam keadaan tertentu serta berkuasa memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi perkara yang diperuntukkan.
Namun, baginda tidak boleh menyertai politik kepartian, berkempen untuk mana-mana parti atau memegang jawatan dalam parti politik.
Dalam urusan pentadbiran harian, baginda lazimnya bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kuasa menegur
Sejarah kesultanan di Malaysia telah menjangkau lebih 600 tahun dan menjadi asas kepada pembentukan sistem pemerintahan negara sehingga hari ini.
Institusi kesultanan bukan sahaja berfungsi sebagai simbol kedaulatan, malah memainkan peranan penting dalam perkembangan agama, pentadbiran dan identiti orang Melayu.
Pengasas Kesultanan Melayu Melaka ialah Parameswara, seorang putera dari Palembang yang membuka Melaka sekitar tahun 1400. Menurut sebahagian sumber sejarah, selepas memeluk Islam baginda dikenali sebagai Sultan Iskandar Shah.
Sehingga hari ini, Malaysia terus menjunjung tinggi kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak utama negara, khususnya dalam hal ehwal berkaitan agama Islam.
Dengan peranan penting yang dimainkan oleh institusi beraja di negara ini, nasihat dan teguran baginda merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius.
Disebabkan itulah sebarang perbuatan yang tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu dianggap sebagai penderhakaan dan amat sensitif dalam kalangan rakyat negara ini.
Sebagai contoh ialah hasrat untuk mewujudkan pusat penternakan babi moden dan berpusat di Selangor.
Sultan Selangor bertitah dengan tegas menolak cadangan tersebut dan tidak mahu haiwan itu diternak di negeri berkenaan sehingga menyebabkan kerajaan negeri akur dengan titah baginda.
Dengan ketegasan yang ditunjukkan baginda, rakyat turut akur dengan keputusan tersebut walaupun terdapat pihak yang cuba mempertikaikan titah berkenaan.
Justeru, apa sahaja teguran dan nasihat yang melibatkan kepentingan rakyat wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dan rakyat selagi ia tidak menyentuh perkara yang membabitkan politik kepartian.
Selagi berada dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu adalah jelas dan perlu dihormati.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
