Tetap derma walau ada simpanan RM5.40

Paparan Facebook Saiful Nang tarik perhatian ramai.
Paparan Facebook Saiful Nang tarik perhatian ramai.
A
A
A

SHAH ALAM - Dikenali dengan aktiviti amal, Saiful Nang terharu apabila usaha membantu menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan dihargai ramai.

Saiful Nang memberitahu, beliau tidak mengharapkan balasan, namun apabila ada pihak tampil menderma walaupun serendah RM2, hatinya cukup tersentuh.

Beliau juga terkenal dalam bidang fotografi berkongsi kisah itu di akaun Facebook miliknya hingga tular di laman sosial.

"Seminggu ini, Projek Pelangi dalam pembuatan PPE untuk frontliner wabak koronavirus (Covid-19) mendapat perhatian ramai.

"Alhamdulillah, banyak sumbangan yang diberikan. Tak banyak penyumbang besar tapi banyak penyumbang kecil tapi dalam jumlah yang sangat ramai," tulisnya.

Jelasnya, di sebalik sumbangan tersebut, beliau tersentuh hati apabila ada penyumbang sanggup mendermakan RM2 sedangkan di akaun hanya tinggal RM5.40.

"Hari ini, saya ingin cerita tentang penyumbang terbesar Projek Pelangi kemungkinan ialah orang ini.

"Penyumbang hanya ada RM5.40 dalam akaun tetapi menyumbangkan RM2 kepada Projek Pelangi PPE untuk Frontliners.

Artikel Berkaitan:

"Lama saya tatap paparan resit yang diberi. Saya tanya balik diri sendiri. Kalau saya cuma ada RM5.40 dalam akaun, adakah saya akan beri RM2 kepada orang lain? Saya pejam mata, saya cuba bayangkan tapi tetap rasa susah nak dibayangkan keluhurannya.

"Tahniah kepada penyumbang yang menyumbangkan hampir separuh apa yang dia ada kepada mereka yang tidak pun dikenali nama dan siapa. Yang dia tahu, dia tidak mahu ketinggalan dalam menyumbang untuk negara," katanya.

Ujarnya, kisah tersebut memberi inspirasi dan wajar dikongsi kepada orang ramai.

"Saya doakan, insan ini dilimpahi rezeki yang tidak tersukat-sukat kerana orang ini memberi ketika dia tiada apa-apa.

"Jika beliau sudah mempunyai segalanya, tidak mustahil dia akan menjadi insan paling memberi manfaat kepada insan lain," katanya.

Dalam pada itu, kepada mereka yang mengetahui lebih lanjut Projek Pelangi, boleh layari https://projekpelangi.com/kempen/bantuan-ppe-covid-19/