Jepun bertemu Brazil di pusingan kalah mati

JEPUN mengesahkan pertemuan menentang Brazil di pusingan 32 terbaik Piala Dunia selepas seri 1-1 dengan Sweden dalam aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Dallas.
Jaringan Daizen Maeda meletakkan Jepun di depan sebelum Anthony Elanga menyamakan kedudukan pada babak kedua di hadapan 70,137 penonton, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati.
Keputusan itu menyaksikan Jepun menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan dengan lima mata, di belakang Belanda yang muncul juara selepas menewaskan Tunisia 3-1 untuk mengumpul tujuh mata.
Sebagai rekod, anak buah Hajime Moriyasu turut mengekalkan rekod tanpa kalah menentang pasukan Eropah dengan 11 perlawanan, merangkumi lapan kemenangan dan tiga seri.
Samurai Blue akan bertemu skuad kendalian Carlo Ancelotti yang menjuarai Kumpulan C di Houston pada Selasa depan (1 pagi waktu Malaysia).
Jepun sebelum ini pernah mara ke pusingan 16 terbaik sebanyak empat kali daripada tujuh penampilan Piala Dunia, menjadikannya pencapaian terbaik bagi pasukan Asia di pentas kejohanan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
