28 atlet berpeluang ke LA28

SERAMAI 28 atlet negara dikenal pasti berpotensi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah memulakan pemetaan awal bagi memastikan persiapan ke temasya terbesar dunia itu dapat dilaksanakan lebih awal dan tersusun.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pemetaan berkenaan merangkumi atlet daripada pelbagai jenis sukan, walaupun fokus terdekat kontinjen negara ketika ini adalah menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menurutnya, perancangan ke LA28 tidak boleh ditangguhkan kerana tempoh dan sistem kelayakan berbeza mengikut jenis sukan, malah bagi sesetengah acara, proses kelayakan sudah pun bermula tahun ini.
"MSN sudah membuat pemetaan awal atlet Malaysia yang berpotensi serta laluan kelayakan mereka ke LA28 merangkumi pelbagai sukan seperti renang, terjun, olahraga, berbasikal, pelayaran, memanah, badminton, hoki dan sebagainya.
"MSN sudah membuat unjuran awal sekitar 28 atlet berpotensi layak ke LA2028," katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat MSN berkenaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28 di Putrajaya pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan jumlah berkenaan masih merupakan unjuran awal dan boleh berubah bergantung kepada prestasi semasa atlet serta perjalanan proses kelayakan bagi setiap sukan.
"Ini semua tertakluk kepada prestasi serta proses kelayakan masing-masing. Angka ini boleh berubah dari masa ke semasa, tetapi apa yang lebih penting adalah hala tuju kita untuk menuju ke LA28 itu sudah pun dirangka bermula sekarang," katanya.
Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata, program Road to Gold (RTG) akan terus diperkasakan sebagai antara platform penting bagi membantu atlet negara membuat persiapan terbaik menjelang LA28.
Katanya, sebarang penambahbaikan dan pelarasan yang diperlukan dalam program berkenaan akan dilaksanakan segera supaya persiapan atlet dapat bergerak seiring dengan keperluan dan cabaran semasa.
"LA28 juga bakal membuka peluang baru kepada Malaysia termasuk melalui sukan skuasy yang akan membuat penampilan sulung di temasya Olimpik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
