PRN Johor: Pas tanding 11 kerusi, pertahankan DUN Maharani

Ahmad Samsuri menyampaikan watikah pelantikan calon Pas kepada Normala Sudirman yang akan bertanding di DUN Tenang.
Ahmad Samsuri menyampaikan watikah pelantikan calon Pas kepada Normala Sudirman yang akan bertanding di DUN Tenang.
A
A
A

MUAR - Jumlah kerusi ditandingi Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dikurangkan kepada 11 berbanding 15 kerusi pada PRN sebelumnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengurangan jumlah kerusi yang ditandingi Pas bukanlah satu isu kerana keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan semasa dan strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, setiap parti akan membuat penilaian berdasarkan landskap politik dan situasi terkini berbanding pilihan raya lalu.

“Mana-mana parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya tentulah membuat pertimbangan berdasarkan senario semasa berbanding lima atau empat tahun lalu.

“Tentulah ada pertimbangan tertentu yang telah digunakan dan saya rasa ia tidak memberikan gambaran apa-apa yang negatif.

“Kita bertanding kerana kita mahu menang dalam pilihan raya,” katanya selepas Majlis Pengumuman Calon PAS-PN bagi PRN Johor di sini pada Khamis.

Pada PRN Johor 2022, Pas bertanding di 15 kerusi DUN iaitu Jementah, Kemelah, Bukit Pasir, Serom, Simpang Jeram, Maharani, Sri Medan, Parit Yaani, Senggarang, Machap, Paloh, Tenggaroh, Tanjung Surat, Tiram dan Pulai Sebatang.

Bagaimanapun untuk PRN kali ini, Pas hanya bertanding di 11 kerusi termasuk mempertahankan Maharani yang merupakan satu-satunya DUN dimenangi selain mencuba lagi di empat kerusi sama iaitu Jementah, Simpang Jeram, Sri Medan serta Tiram.

Enam lagi kerusi ialah Tenang, Sungai Balang, Semerah, Endau, Pasir Raja dan Kahang.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai barisan calon Pas, Ahmad Samsuri berkata, sebahagian daripada mereka pernah bertanding sebelum ini termasuk di kerusi yang berbeza, namun majoritinya merupakan muka baharu.

“Daripada 11 calon yang ditampilkan, ada yang pernah bertanding sebelum ini dan mungkin juga di kerusi yang berbeza.

“Bagaimanapun, lebih 50 peratus daripada mereka adalah muka baharu yang akan membawa pendekatan serta tenaga baharu untuk Pas dan PN,” katanya.

Pas sebelum ini mengumumkan 11 calon untuk bertanding pada PRN Johor, termasuk dua calon wanita iaitu Normala Sudirman di DUN Tenang dan Yuhanita Yunan di DUN Pasir Raja.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!