Rundingan peringkat tertinggi AS-Iran tamat

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif (tengah) bersama rakan sejawatannya dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman (kanan) ketika menghadiri rundingan empat pihak itu di Burgenstock.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif (tengah) bersama rakan sejawatannya dari Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman (kanan) ketika menghadiri rundingan empat pihak itu di Burgenstock.
A
A
A

OBBUERGEN - Rundingan peringkat tertinggi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Switzerland bertujuan menamatkan perang secara kekal berakhir pada awal pagi Isnin selepas 'perbincangan intensif' selama kira-kira 18 jam.

Rundingan teknikal peringkat rendah seterusnya dijadualkan berlangsung sepanjang minggu ini selepas Teheran bersama Washington bersetuju mewujudkan sebuah 'unit penyahkonflik' atau 'mekanisme penyelarasan' bagi menangani pertempuran di Beirut.

Kenyataan bersama Pakistan dan Qatar selaku negara perantara memaklumkan unit itu akan melibatkan pemerintah Lubnan dan bertujuan memastikan pematuhan terhadap penamatan operasi ketenteraan yang dilancarkan Israel.

Namun, masih belum jelas sama ada langkah itu memadai untuk menghentikan perang ganas tersebut yang menyasarkan pejuang Hizbullah meskipun negara perantara memberi jaminan terdapat kemajuan positif untuk memuktamadkan perjanjian damai.

Proses diplomatik selama 60 hari itu memberi fokus kepada konflik Lubnan yang masih menjadi antara isu utama yang masih gagal diselesaikan kerana kedegilan rejim Tel Aviv.

Rundingan itu bermula agak tegang pada Ahad apabila Teheran tersinggung dengan retorik ugutan Presiden AS, Donald Trump yang mengancam mahu menyerang semula Iran jika ia terus menyokong Hizbullah.

"Trump sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur provokasi. Angkatan bersenjata kami bersedia untuk bertindak balas dengan cara berbeza.

"Mereka boleh terus mengugut, namun kami akan bertindak dengan lebih tegas," menurut Ketua Perunding Iran, Mohammad Bagher Qalibaf yang bertindak meninggalkan meja rundingan.

Delegasi AS disertai Naib Presiden, JD Vance bersama Wakil Khas, Steve Witkoff dan Jared Kushner yang merupakan menantu Trump manakala Qalibaf bersama Menteri Luar, Abbas Araghchi mewakili Teheran.

Artikel Berkaitan:

Menerusi catatan di platform X, Araghchi memuji usaha Islamabad dan Doha yang mahu menghentikan pertempuran di Lubnan.

"Ujian pertama rundingan ini adalah untuk memastikan sama ada 'unit penyahkonflik' itu berjaya memainkan peranan mereka," ujarnya. - AFP

Info:

> Iran kembali menutup Selat Hormuz sejak akhir minggu lalu selepas AS didakwa gagal mematuhi untuk menghentikan pertempuran di Lubnan.

> Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Ahad tegaskan Teheran akan meneruskan program pengayaan uranium walaupun mendapat tekanan pihak luar.

> Harga minyak jatuh pada Isnin berikutan optimisme terhadap rundingan AS–Iran. Pasaran ekuiti pula menunjukkan prestasi bercampur-campur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!