Polis mengesan ketua geng pecah kedai

Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah sebuah kedai perkakasan di Seri Iskandar semalam.
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah sebuah kedai perkakasan di Seri Iskandar semalam.
A
A
A

PARIT - Polis sedang mengesan ketua geng pecah kedai selepas berjaya menahan dua ahlinya di sebuah bangunan kedai di Seri Iskandar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit kes pecah kedai perkakasan yang dilaporkan pada 3 April lalu.

Menurutnya, suspek berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan snapcheck Op Covid-19.

“Suspek pertama berusia 24 tahun ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai kira-kira jam 1.30 pagi.

“Suspek bertindak agresif ketika ditahan dan hasil pemeriksaan menemui pisau rambo dan sarung tangan yang terselit dipinggang serta pemutar skru, ‘allen key’ dan lampu suluh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Barudin berkata, siasatan lanjut diteruskan dengan melakukan pemeriksaan tempat tinggal dan menahan rakan serumahnya berusia 22 tahun.

“Pemeriksaan menemui pelbagai barangan dipercayai dicuri daripada kedai tersebut antaranya lampu neon, botol gas, pisau, pisau panjang, gunting serta gel rambut dan kesemuanya mempunyai tanda harga kedai terbabit.

“Suspek juga disyaki terlibat dalam kejadian curi motosikal dilaporkan di Bandar Universiti namun, kedua-dua kenderaan itu berjaya ditemui semula,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek direman sehingga Isnin ini untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 28(1)(i) Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Mereka juga didapati melanggar Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.