AS mara ke pusingan kalah mati

Anak buah Mauricio Pochettino menjadi pasukan kedua mara kel pusingan kalah mati Piala Dunia 2026. Foto Agensi
Anak buah Mauricio Pochettino menjadi pasukan kedua mara kel pusingan kalah mati Piala Dunia 2026. Foto Agensi
A
A
A

AMERIKA Syarikat (AS) mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Australia 2-0 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Lumen Field, awal pagi tadi.

Kemenangan kedua berturut-turut itu meletakkan skuad kendalian Mauricio Pochettino di kedudukan terbaik untuk muncul juara kumpulan selepas sebelum ini membelasah Paraguay 4-1 pada aksi pembukaan.

AS bermula garang apabila mendahului seawal minit ke-11 hasil jaringan sendiri pertahanan Australia, Cameron Burgess yang tertampan hantaran lintang Folarin Balogun ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Tuan rumah terus menguasai permainan dan menggandakan kelebihan menjelang tamat babak pertama menerusi Alex Freeman, dengan gol berkenaan disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Meskipun turun tanpa kapten, Christian Pulisic yang diketepikan akibat kecederaan betis, AS tidak berdepan masalah mengawal tempo permainan menerusi gandingan Tyler Adams, Weston McKennie dan Malik Tillman di bahagian tengah.

Australia cuba meningkatkan tekanan selepas rehat dengan memasukkan beberapa pemain menyerang termasuk Nestory Irankunda dan Connor Metcalfe, namun usaha mereka gagal menghasilkan gol yang diperlukan untuk menghidupkan peluang bangkit.

Kemenangan itu menyaksikan AS mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan dan menjadi antara pasukan terawal mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati.

Sebaliknya, Australia kini berdepan tugas lebih mencabar menjelang aksi terakhir kumpulan apabila memerlukan keputusan positif bagi memastikan peluang mereka untuk mara terus hidup.

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!