Berulang kali seludup petrol, lelaki ditahan KPDN

Hanif Yusabra (kanan) memeriksa bahagian tangki yang diubah suai. Foto KPDN
Hanif Yusabra (kanan) memeriksa bahagian tangki yang diubah suai. Foto KPDN
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki dipercayai berulang kali terbabit dalam kegiatan penyeludupan petrol bersubsidi ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan selepas dikesan menggunakan kenderaan diubah suai secara ekstrem bagi tujuan tersebut.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, lelaki berusia 43 tahun itu dipercayai mengubah suai sebuah Proton Wira dengan memasang tangki tambahan sehingga hampir tiga kali ganda kapasiti asal, iaitu daripada kira-kira 50 liter kepada 120 liter.

“Tangkapan dibuat ketika lelaki itu sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Terbak, Pengkalan Kubor.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai mengubah suai kenderaan bagi membolehkan pengisian petrol dalam jumlah lebih besar dan disyaki untuk diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media sempena tinjauan Op Tiris 4.0 di sempadan  Pengakalan Kubor di sini pada Ahad.

Tangki diubah suai di bawah tempat duduk belakang kereta. Foto KPDN
Tangki diubah suai di bawah tempat duduk belakang kereta. Foto KPDN

Beliau berkata, hasil pemerhatian mendapati suspek melakukan pengisian berulang di stesen minyak berkenaan dengan dua transaksi, iaitu 80 liter pada jam 7.42 pagi dan 40 liter pada 7.52 pagi, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 120 liter.

“Petrol dan kenderaan yang digunakan dirampas dengan nilai keseluruhan berjumlah RM5,446.

“Semakan juga mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes sama tahun lepas, sekali gus menunjukkan kegiatan penyeludupan dilakukan secara berulang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan, manakala pihak stesen minyak turut disiasat di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan jualan berulang.

Dalam perkembangan sama, KPDN Kelantan memaklumkan jumlah keseluruhan rampasan sepanjang Januari hingga 14 Jun mencecah RM2.67 juta melibatkan 521 kes.

Daripada jumlah itu, 100 tangkapan dilakukan manakala 302 kes dikenakan kompaun berjumlah RM211,950.

Hanif Yusabra (dua, kanan) melakukan pemantauan di stesen minyak di sempadan di Tumpat. 
Hanif Yusabra (dua, kanan) melakukan pemantauan di stesen minyak di sempadan di Tumpat. 

Hanif Yusabra berkata, Akta Kawalan Bekalan 1961 merekodkan kes tertinggi iaitu 237 kes, diikuti Akta Harga Kawalan dan Antipencatutan 2011 sebanyak 134 kes serta Akta Timbang dan Sukat 1972 sebanyak 132 kes.

Tambah beliau, KPDN Kota Bharu kekal sebagai cawangan paling aktif dengan 269 kes, diikuti Pasir Mas (84 kes), Kuala Krai (69 kes), Tanah Merah (60 kes) dan Gua Musang (39 kes).

Bagi Ops Tiris 4.0 yang bermula 16 Mac lalu, sebanyak 104 kes direkodkan melibatkan 53 tangkapan serta 4,223 pemeriksaan dengan nilai rampasan RM1.99 juta.

“Sepanjang operasi itu, diesel kekal sebagai barang kawalan paling banyak disita dengan 17,309.40 liter, diikuti petrol sebanyak 15,127.50 liter,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihaknya terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barangan kawalan.

“Pemantauan 24 jam di pintu masuk sempadan dan pemeriksaan kenderaan diubah suai akan membantu mengurangkan aktiviti penyeludupan rentas sempadan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!