PKR nafi hasut rakyat hasil video kritik kerajaan

Bekas pemimpin PKR mendedahkan wujudnya usaha PKR mengajak rakyat menghasilkan video kritik kerajaan.
Bekas pemimpin PKR mendedahkan wujudnya usaha PKR mengajak rakyat menghasilkan video kritik kerajaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan terdapat usaha untuk mengajak rakyat Malaysia supaya beramai-ramai menghasilkan video pendek bagi mengkritik kerajaan Perikatan Nasional seperti ditularkan baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penafian parti itu termasuk dakwaan penyediaan dana atau habuan untuk video pendek daripada rakyat kerana PKR tentunya tiada keupayaan kewangan seperti itu.

Menurutnya, rakyat mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk berfikir secara rasional apabila melihat kelemahan Perikatan Nasional di dalam mengendalikan krisis mengancam negara dan nyawa rakyat, sudah pasti mereka akan menyuarakan kritikan.

"Apabila menteri Perikatan Nasional menyuarakan sesuatu tidak masuk akal seperti meminum air suam akan membantu membunuh virus atau saranan kementerian untuk para isteri membuat suara Doraemon, atau melakukan sanitasi jalan raya dengan membazirkan peralatan perlindungan diri atau mengajak mahasiswa bermain TikTok.

"Malah yang terbaharu tindakan UMNO menyerang seorang pakar perubatan swasta, Dr Musa Nordin pastinya rakyat tidak berdiam diri. Kita yakin rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk mengkritik tindakan yang memberi kesan negatif kepada kehidupan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar turut mengingatkan Perikatan Nasional supaya jangan menjadi terlalu sombong sehingga menganggap kerajaan tahu segala-galanya.

"Justeru, saya menyeru Perikatan Nasional bersikap positif menerima kritikan rakyat dengan hati dan minda terbuka selain cuba fahami kritikan-kritikan tersebut serta melakukan pembetulan.

"Cubaan mengalihkan kritikan untuk menyerang saya dan PKR sudah pastinya adalah lebih malang kerana pada saat ini kita harus memfokuskan kepada ikhtiar membendung penularan wabak dan menyelamatkan negara bukan bermain politik.

"Perikatan Nasional harus insaf bahawa rakyat tidak lagi boleh dimomokkan dengan mantera 'the government can do no wrong'. Jangan memandang rendah kebijaksanaan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: