Krisis tenaga dunia: Majikan diseru pertimbang pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel

 Majikan di sektor swasta di seluruh negara diseru untuk mempertimbang pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) mengikut keperluan operasi masing-masing. Foto hiasan
Majikan di sektor swasta di seluruh negara diseru untuk mempertimbang pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) mengikut keperluan operasi masing-masing. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan di sektor swasta di seluruh negara diseru untuk mempertimbang pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) mengikut keperluan operasi masing-masing sebagai langkah menghadapi cabaran krisis tenaga dunia dan ketidaktentuan ekonomi dunia semasa.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berpandangan, pelaksanaan AKF yang diperkenal di bawah pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265] berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 lalu memberi memberi manfaat menyeluruh kepada majikan dan pekerja.

Ia termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan menyokong kesejahteraan pekerja melalui keseimbangan kerja serta kehidupan yang lebih baik.

"Majikan sektor swasta digalakkan untuk menilai kesesuaian pelaksanaan AKF di organisasi masing-masing berdasarkan keperluan operasi, termasuk melalui pendekatan bekerja dari rumah, waktu kerja anjal, penggiliran kerja atau model hibrid," kata kementerian itu pada Jumaat.

Menurutnya, di bawah peruntukan Seksyen 60P dan 60Q Akta 265, pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel kepada majikan, sekali gus memperkukuh amalan kerja moden yang lebih responsif terhadap keperluan semasa.

"Peruntukan baharu ini membolehkan pekerja membuat permohonan kepada majikan untuk bekerja secara fleksibel sama ada dari segi waktu bekerja, hari bekerja atau tempat bekerja (bekerja dari rumah)," jelas KESUMA.

Bagi menjamin kebajikan pekerja, KESUMA menegaskan, majikan yang telah melaksanakan AKF tidak boleh mengurangkan faedah-faedah yang telah diperuntukkan di bawah akta itu.

Antaranya seperti bayaran kerja lebih masa, bayaran kerja pada hari rehat, bayaran kerja pada cuti am, pemberian cuti rehat, cuti tahunan, hari kelepasan am dan cuti sakit.

KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menyediakan pelbagai sokongan kepada majikan termasuk khidmat nasihat pembangunan dasar AKF, latihan serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan tersusun.

Bagi memudahkan majikan melaksanakan AKF, JTKSM telah menerbitkan Garis Panduan Pelaksanaan AKF pada tahun 2024 yang boleh dimuat turun di pautan https://www.mohr.gov.my/images/pdf/Garis Panduan AKF 2024.pd.

Sehubungan itu, KESUMA turut menyeru semua majikan sektor swasta untuk mengambil langkah proaktif dalam mengadaptasi AKF sebagai strategi penting bagi memperkukuh daya tahan organisasi, mengurangkan impak krisis tenaga serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dalam persekitaran global yang mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis memaklumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja yang lebih anjal seperti pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi penjawat awam.

Beliau berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam di samping menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Ringkasan AI

  • KESUMA menyeru majikan swasta melaksanakan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) mengikut keperluan operasi.
  • AKF diperkenalkan di bawah pindaan Akta Kerja 1955 dan berkuat kuasa sejak 1 Januari 2023.
  • Pelaksanaan AKF membantu mengoptimumkan sumber serta meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja.
  • Pekerja boleh memohon pengaturan kerja fleksibel mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta 265.
  • Majikan tidak boleh mengurangkan faedah pekerja yang diperuntukkan di bawah akta.
  • JTKSM dan TalentCorp menyediakan sokongan, latihan dan garis panduan pelaksanaan AKF.
  • Garis Panduan Pelaksanaan AKF 2024 disediakan bagi membantu majikan.
  • Perdana Menteri memaklumkan kerajaan turut mempertimbang kerja anjal termasuk BDR bagi penjawat awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!