Phone scam kekal ancaman utama negara

Mohd Khalid (dua dari kiri) dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di ibu negara pada Isnin.
Mohd Khalid (dua dari kiri) dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di ibu negara pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes penipuan dalam talian meningkat 87 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan satu trend yang amat membimbangkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, tahun 2025 mencatatkan sebanyak 66,204 kes jenayah penipuan dalam talian sekali gus peningkatan drastik sebanyak 87 peratus berbanding 35,368 kes tahun 2024.

Menurutnya, dari sudut nilai kerugian, angka yang dicatatkan pada tahun 2025 mencecah RM2.97 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM1.40 bilion berbanding tahun sebelumnya.

"Daripada jumlah tersebut, phone scam kekal sebagai ancaman utama dengan 28,388 kes dilaporkan.

"Penipuan pelaburan tidak wujud pula mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu mencecah RM1.47 bilion bagi tempoh yang sama," katanya semasa berucap Sempena Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Berhad, Tan Sri Dr Tay Ah Lek serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Tambah Mohd Khalid, angka-angka ini bukan sekadar statistik di atas kertas, tetapi ia adalah cerminan kepada ribuan mangsa yang terjejas punca pendapatan dan masa depan mereka akibat kelicikan sindiket penipuan.

Katanya, dalam era yang didominasi teknologi digital, kebergantungan kepada transaksi dalam talian telah membuka ruang eksploitasi kepada penjenayah siber.

"Evolusi jenayah penipuan dalam talian atau scam yang semakin kompleks ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh, dinamik dan berteraskan kolaborasi strategik.

Artikel Berkaitan:

"Ancaman ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, tetapi turut menggugat kesejahteraan sosial, meruntuhkan keyakinan masyarakat terhadap ekosistem digital serta memberi impak negatif kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhannya," ujarnya.

Kata beliau, dalam era pendigitalan yang serba pantas ini, sindiket-sindiket ini sentiasa memperbaharui taktik dan kaedah operasi mereka dengan mengeksploitasi kemajuan teknologi serta kecanggihan platform komunikasi moden.

"Usaha pencegahan, pendidikan dan pembudayaan kesedaran keselamatan digital kini menjadi keutamaan yang mendesak dan perlu diperkasakan secara berterusan.

"Saya menyeru seluruh masyarakat Malaysia agar sentiasa mengamalkan sikap waspada dalam setiap urusan kewangan, terutamanya transaksi dalam talian. Jangan mudah terpedaya dengan panggilan, mesej atau tawaran yang meragukan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid turut menyambut baik pelaksanaan Program PB Scam Rangers hasil kerjasama erat antara JSJK dan Publik Bank Berhad.

Inisiatif 'Dua Pasukan, Satu Matlamat' ini membuktikan bahawa perlindungan masyarakat daripada ancaman scam bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan

aktif sektor perbankan, agensi-agensi berkaitan dan komuniti secara kolektif.

"Kerjasama strategik ini merupakan langkah progresif bagi memperkukuh tahap literasi kewangan dan keselamatan siber dalam kalangan masyarakat.

"Melalui pendekatan yang berfokus kepada pendidikan awam, kita mampu membentuk sebuah masyarakat yang peka, berpengetahuan dan mempunyai daya tahan tinggi terhadap pelbagai bentuk manipulasi penjenayah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!