Sejam 'kerja' RM50,000 lesap

Mohd Yusoff (gambar kecil) memberitahu, polis Kelantan menumpaskan sindiket yang dipercayai aktif mencuri kabel projek ECRL sejak Februari lalu selepas menahan dua lelaki, sekali gus menyelesaikan empat kes kecurian yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM200,000. Foto: UPKN
Mohd Yusoff (gambar kecil) memberitahu, polis Kelantan menumpaskan sindiket yang dipercayai aktif mencuri kabel projek ECRL sejak Februari lalu selepas menahan dua lelaki, sekali gus menyelesaikan empat kes kecurian yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM200,000. Foto: UPKN
A
A
A

KOTA BHARU – Polis Kelantan menumpaskan sindiket yang dipercayai aktif mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak Februari lalu selepas menahan dua lelaki, sekali gus menyelesaikan empat kes kecurian yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM200,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan bulan lalu bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian yang berlaku di sepanjang jajaran ECRL di Pasir Puteh.

Menurut beliau, Pasir Puteh dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berikutan mempunyai jajaran ECRL paling panjang di negeri ini selain melalui kawasan pedalaman dan hutan yang sukar dipantau.

"Setiap kes melibatkan kerugian kira-kira RM50,000. Siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Februari lalu dengan mengambil kesempatan mencuri kabel ketika sistem elektrik di laluan projek mega itu belum diaktifkan sepenuhnya.

"Keadaan itu memberi ruang kepada mereka untuk bertindak kerana tiada risiko terkena renjatan elektrik selain lokasi kejadian yang kebanyakannya jauh dari penempatan awam," katanya semasa sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.

Beliau memberitahu, suspek dipercayai menyasarkan kabel dan komponen tembaga bernilai tinggi yang terdapat pada sistem ECRL sebelum menjual hasil curian itu di premis barang lusuh sekitar negeri ini.

Menurutnya, siasatan turut mendapati proses memotong dan menarik kabel hanya mengambil masa kira-kira satu jam bagi setiap operasi.

"Walaupun tempoh operasi singkat, kerugian yang ditanggung adalah besar kerana ia melibatkan komponen penting bagi projek infrastruktur strategik negara.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusoff memberitahu, pihaknya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh dan Kota Bharu mempertingkatkan pemantauan di kawasan laluan ECRL bagi mengekang kejadian sama daripada berulang.

Pada masa sama, beliau turut meminta pihak pengurusan ECRL memperkukuh aspek keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penambahan pengawal keselamatan di lokasi berisiko.

"Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan projek strategik negara ini tidak menjadi sasaran penjenayah yang mahu mengaut keuntungan melalui kegiatan mencuri kabel dan komponen bernilai tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!