Menyamar jadi anggota polis demi temu janji klinik

PUNE - Seorang wanita menyamar sebagai anggota polis demi untuk mendapatkan 'layanan istimewa' di sebuah klinik.
Pelaku dikenali sebagai Samina Ayub Pathan itu bagaimanapun diberkas oleh pasukan dari Balai Polis Lashkar di Pune, India.
Penyamarannya terbongkar pada akhir minggu lalu ketika sepasukan anggota polis melakukan rondaan dan terlihat wanita itu yang lengkap memakai uniform dengan pangkat sub-inspektor.
"Pemeriksaan dilakukan ke atasnya selepas gerak-gerinya agak mencurigakan. Dia juga gagal menunjukkan kad kuasa untuk mengesahkan identitinya dan gagal memberikan jawapan yang meyakinkan.
"Hasil soal siasat mendapati wanita itu cuba mendapatkan temu janji di klinik tersebut dengan menggunakan pengaruhnya sebagai 'anggota polis'," menurut jurucakap pihak berkuasa.
Difahamkan, Samina pernah bercita-cita mahu menyertai pasukan polis, namun tidak kesampaian dan dia kini bekerja di sebuah syarikat swasta.
Siasatan lanjut telah dijalankan untuk mengesahkan sama ada wanita itu pernah terlibat dalam kes penipuan lain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

