Bioalpha perkenal kecemerlangan industri halal kepada pelajar Perancis

BIOALPHA Holdings Berhad (Bioalpha) menerima kunjungan sekumpulan pelajar dari Perancis yang sedang mengikuti program latihan industri di Malaysia bagi memberi pendedahan mengenai perkembangan industri halal negara dan sektor pembuatan nutraseutikal yang semakin berkembang.
Lawatan ke fasiliti pembuatan bertaraf halal milik syarikat itu diadakan menerusi program anjuran Art Market Malaysia yang bertujuan memperkukuh pertukaran ilmu serta pemahaman antara budaya.
Sepanjang lawatan, para pelajar didedahkan kepada proses pembuatan produk Bioalpha, piawaian kawalan kualiti, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain memahami peranan Malaysia sebagai hab halal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pengarah Eksekutif Bioalpha, Joe Ang berkata, lawatan tersebut menjadi platform penting untuk memperkenalkan keupayaan Malaysia dalam bidang pembuatan halal dan produk kesihatan berasaskan sumber semula jadi kepada masyarakat antarabangsa.
Menurut beliau, pensijilan halal kini bukan sahaja melambangkan pematuhan terhadap syariah, malah turut menjadi penanda aras kepada aspek kualiti, keselamatan dan kebolehpercayaan yang diterima di seluruh dunia.
“Ramai pelajar antarabangsa yang menyertai lawatan ini telah mengenali herba tempatan seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah. Perkara ini menunjukkan minat global yang semakin meningkat terhadap khazanah kesihatan semula jadi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, program seumpama itu dapat membantu memperkukuh persefahaman antarabangsa selain membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas dalam bidang industri halal dan kesihatan.
Selain itu, para pelajar turut diberikan pendedahan mengenai potensi bahan botani tempatan serta peranan inovasi dalam memacu pertumbuhan industri kesihatan dan kesejahteraan.
Bioalpha berpandangan bahawa inisiatif sedemikian mampu meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa terhadap kepakaran Malaysia dalam bidang pembuatan halal, sains herba dan pembangunan produk berasaskan sumber semula jadi.

Bioalpha Holdings Berhad merupakan kumpulan pembuatan produk nutraseutikal dan kesihatan yang berpangkalan di Malaysia serta tersenarai awam.
Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan, syarikat ini menyediakan penyelesaian bersepadu merangkumi pembangunan produk, pembuatan dan pengkomersialan, bagi menyokong rakan niaga dalam membangunkan jenama yang boleh diskalakan dan sedia untuk pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
