Kanak-kanak perempuan patah tulang orbit mata ditolak dari papan gelongsor

Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas didakwa ditolak dari sebuah papan gelongsor di taman permainan. Foto Znews.
Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas didakwa ditolak dari sebuah papan gelongsor di taman permainan. Foto Znews.
A
A
A

HANOI – Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas didakwa ditolak dari sebuah papan gelongsor di taman permainan sebuah kompleks apartmen di My Dinh, Hanoi, Vietnam.

Menurut laporan portal berita Vietnam, ZNews, kejadian yang berlaku pada 7 Jun itu dikongsikan oleh bapa mangsa, Ngoc Anh, menerusi rakaman video yang tular di media sosial.

Ngoc Anh mendakwa anaknya terjatuh dengan kepala terlebih dahulu ke tanah selepas ditolak oleh seorang kanak-kanak lelaki yang baru memasuki kawasan permainan tersebut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan perubatan mendapati anaknya mengalami patah tulang orbit mata serta pendarahan dalaman pada bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

“Keutamaan kami sekarang adalah kesihatan anak. Dia masih perlu dipantau di hospital untuk beberapa hari lagi,” katanya seperti dipetik ZNews.

Menurut beliau, keadaan anaknya kini dilaporkan stabil namun masih memerlukan pemantauan lanjut oleh pihak hospital.

Ngoc Anh turut mendakwa kanak-kanak yang terlibat dalam insiden itu mempunyai autisme, namun menegaskan bahawa kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas tetap perlu diawasi dengan rapi ketika berada di tempat awam.

Pada masa sama, beliau mengakui turut menyalahkan dirinya kerana tidak mengawasi anak dengan lebih dekat ketika kejadian berlaku.

“Saya terkilan kerana tidak berada dekat dengan anak saya ketika itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap insiden tersebut menjadi peringatan kepada ibu bapa supaya lebih berwaspada ketika membawa anak-anak ke taman permainan awam.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pihak pengurusan kompleks kediaman memperketatkan langkah keselamatan dan pemantauan di kawasan permainan kanak-kanak.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa atau hospital berhubung insiden berkenaan dilaporkan.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!