Serangan beruang: 94 sekolah di Utsunomiya ditutup

TOKYO- Sebanyak 94 sekolah di bandar Utsunomiya di utara Jepun ditutup selepas seekor beruang dilaporkan muncul di kawasan itu sejak Sabtu, lapor Reuters.
Pihak berkuasa bandar Utsunomiya mengarahkan semua sekolah rendah dan menengah rendah awam ditutup sebagai langkah keselamatan.
Sehingga kini, beruang tersebut masih belum berjaya ditangkap selepas kali terakhir dilihat pada awal pagi Isnin, kira-kira setengah kilometer dari sebuah sekolah menengah.
Kes serangan beruang, termasuk di kawasan bandar, dilaporkan semakin meningkat di Jepun sehingga mendorong penubuhan pasukan petugas khas tahun ini bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kematian.
Serangan terbaharu dilaporkan di bandar Fukushima di timur laut Jepun, minggu lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya empat individu cedera.
Rakaman kamera keselamatan dari Fukushima Steel Works menunjukkan seekor beruang hitam mengejar seorang pekerja berhampiran pintu masuk kilang sebelum menjatuhkannya ke tanah.
Beruang hitam Asia diklasifikasikan sebagai spesies terancam di peringkat global. Namun, populasi haiwan itu di Jepun dianggarkan meningkat hampir tiga kali ganda sejak 2012, antaranya disebabkan penurunan aktiviti pemburuan.
Pakar turut berpandangan bahawa perubahan iklim telah menjejaskan sumber makanan semula jadi beruang seperti buah oak dan kacang beech.
Selain itu, pengurangan populasi di kawasan luar bandar serta pertambahan tanah pertanian terbiar dipercayai menjadi faktor haiwan tersebut mencari makanan lebih dekat dengan kawasan penempatan manusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
