Muafakat Nasional: Kekuatan Pas tidak wajar diperkecil

Mohd Afifi (gambar kecil) berkata, Politik tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi perlu mengambil kira jumlah undi yang diperoleh, trend sokongan pengundi serta faktor kadar keluar mengundi.
Mohd Afifi (gambar kecil) berkata, Politik tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi perlu mengambil kira jumlah undi yang diperoleh, trend sokongan pengundi serta faktor kadar keluar mengundi.
A
A
A

KENYATAAN dua penganalisis politik, Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre dan Dr Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya, dalam sebuah portal berita bahawa UMNO akan menanggung kerugian sekiranya Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula di Johor adalah pandangan yang terlalu sempit, bersifat jangka pendek dan gagal mengambil kira realiti politik Melayu-Islam.

Hujah bahawa Pas tidak mempunyai kekuatan signifikan di Johor kerana hanya memenangi satu kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 juga tidak tepat jika dilihat secara lebih menyeluruh. Politik tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi perlu mengambil kira jumlah undi yang diperoleh, trend sokongan pengundi serta faktor kadar keluar mengundi.

Hakikat yang sering dilupakan ialah PRN Johor 2022 berlangsung dalam keadaan kadar keluar mengundi yang amat rendah, iaitu sekitar 54.9 peratus sahaja, antara yang terendah dalam sejarah pilihan raya negara.

Dalam keadaan ramai penyokong pembangkang tidak keluar mengundi, BN berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN. Namun kemenangan besar itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti bahawa Johor sudah kembali menjadi kubu kebal BN.

Bukti paling jelas dapat dilihat beberapa bulan kemudian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Apabila kadar keluar mengundi meningkat dengan ketara, BN kehilangan banyak kerusi Parlimen di Johor dan gagal mengulangi dominasi yang dicapai dalam PRN.

Ini menunjukkan bahawa kemenangan besar BN dalam PRN Johor banyak dibantu oleh faktor peratusan keluar mengundi yang rendah, bukannya semata-mata kerana lonjakan sokongan rakyat kepada BN.

Malah jika diteliti keputusan PRN Johor sendiri, Pas dan PN bukanlah lemah seperti yang cuba digambarkan. Pas memenangi DUN Maharani dengan 7,559 undi dan hampir merampas DUN Bukit Pasir apabila calon Pas hanya tewas dengan 198 undi kepada calon UMNO.

Pas juga mencatat keputusan yang kompetitif di beberapa kerusi DUN Johor walaupun hanya memenangi satu kerusi. Di Tiram, Pas memperoleh 17,658 undi, diikuti Tenggaroh (9,172 undi), Sri Medan (6,891 undi), Pulai Sebatang (5,967 undi), Senggarang (5,624 undi) dan Parit Yaani (5,435 undi), membuktikan Pas mempunyai kelompok pengundi Melayu-Islam yang signifikan di negeri itu.

Di Tiram misalnya, Pas memperoleh 17,658 undi berbanding 22,939 undi yang diperoleh UMNO. Jurang sekitar 5,000 undi itu menunjukkan Pas mempunyai tapak sokongan yang besar walaupun tidak memenangi kerusi tersebut. Di Tenggaroh pula, Pas memperoleh 9,172 undi berbanding 10,528 undi untuk BN, dengan perbezaan hanya 1,356 undi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, hujah bahawa Pas tidak mempunyai kekuatan signifikan di Johor adalah tidak tepat. Dari sudut kerusi, Pas mungkin hanya memenangi satu DUN, tetapi dari sudut undi popular Melayu-Islam, Pas mempunyai pengaruh yang besar dan tidak boleh dipandang rendah.

Lebih penting, persoalan Muafakat Nasional tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan untung rugi politik UMNO di Johor. Politik bukan sekadar soal berapa kerusi boleh dimenangi dalam satu PRN. Politik juga melibatkan persoalan penyatuan umat Melayu-Islam, kestabilan politik jangka panjang dan masa depan kuasa politik Melayu di peringkat nasional.

Jika UMNO mengambil pendekatan bahawa mereka tidak memerlukan Pas di Johor kerana mempunyai peluang menang bersendirian, maka UMNO juga perlu menjawab persoalan yang lebih besar, iaitu bagaimana pula dengan Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pahang, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis?

Hakikatnya, UMNO mungkin boleh bertahan di Johor tanpa Pas, tetapi UMNO tidak boleh mengabaikan Pas di banyak negeri lain yang mempunyai komposisi politik berbeza. Pas mempunyai jentera akar umbi yang luas, sokongan pengundi Melayu yang signifikan dan pengaruh yang tidak boleh dinafikan dalam landskap politik negara.

Lebih membimbangkan ialah kecenderungan melihat politik semata-mata melalui lensa kerusi dan kuasa. Mereka terlupa bahawa ramai penyokong UMNO di peringkat akar umbi masih sukar menerima kerjasama dengan DAP. Bagi kelompok ini, mudarat politik dan persepsi yang timbul akibat kerjasama UMNO-DAP jauh lebih besar daripada sebarang pengorbanan satu atau dua kerusi untuk Pas.

Jika alasan diberikan bahawa UMNO tidak perlu bekerjasama dengan Pas kerana UMNO boleh melaksanakan agenda Melayu Islam sendiri apabila berkuasa, maka persoalan yang timbul ialah mengapa sokongan Melayu kepada UMNO terus merosot dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini? Hakikatnya, sebahagian besar pengundi Melayu Islam melihat Pas sebagai rakan semula jadi UMNO dalam isu-isu Melayu Islam, bukannya DAP.

Atas sebab itu, pendekatan yang lebih munasabah ialah mengekalkan formula realistik yang tidak merugikan mana-mana pihak. UMNO tidak perlu menyerahkan banyak kerusi kepada Pas. Cukuplah Pas diberikan kerusi yang telah dimenanginya dalam PRN Johor 2022, iaitu Maharani, atau ditambah satu lagi kerusi yang mempunyai potensi kemenangan tinggi.

Formula sebegini bukan sahaja mengiktiraf kekuatan Pas yang sebenar, malah mampu mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang selama ini memberi keuntungan kepada pihak lawan.

Hakikatnya, ancaman terbesar jika Muafakat Nasional tiada ialah kepada UMNO bukan Pas. Sejarah telah menunjukkan bahawa apabila undi Melayu Islam berpecah, pihak lain yang mendapat keuntungan. Sebaliknya apabila UMNO dan Pas bekerjasama melalui Muafakat Nasional, kedua-dua parti berjaya mencipta gelombang politik yang membawa kemenangan besar dalam beberapa pilihan raya kecil selepas PRU14.

Oleh itu, sebelum membuat kesimpulan bahawa Muafakat Nasional hanya menguntungkan Pas, satu soalan yang lebih penting perlu ditanya, iaitu adakah kepentingan politik jangka pendek memenangi beberapa kerusi tambahan lebih penting daripada usaha menyatukan kekuatan politik Melayu Islam?

Jika jawapannya tidak, maka Muafakat Nasional mempunyai rasional yang amat kuat untuk dipertimbangkan semula, termasuk di Johor.

*Mohd Afifi Abdul Razak ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!