Piala Dunia: Skuad bola sepak Iran akhirnya terima visa AS

Skuad Iran telah diberikan visa untuk beraksi dalam Piala Dunia di Amerika Syarikat. Gambar hiasan
Skuad Iran telah diberikan visa untuk beraksi dalam Piala Dunia di Amerika Syarikat. Gambar hiasan
A
A
A

SKUAD bola sepak kebangsaan Iran akhirnya diberikan visa untuk beraksi dalam kejohanan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu disahkan oleh Duta AS ke Turkiye, Tom Barrack menerusi satu hantaran di platform X pada Jumaat.

"Sukan melangkaui sempadan, dan kami tidak sabar untuk menyambut kehadiran para peserta serta peminat dari seluruh dunia," katanya.

Skuad Iran dijadualkan berlepas dari Turkiye ke Sepanyol pada Sabtu sebelum meneruskan perjalanan ke kem latihan mereka di Mexico yang turut telah mengeluarkan visa buat pasukan itu pada Ahad.

Meskipun Mexico dipilih sebagai pangkalan rasmi sepanjang kejohanan di Amerika Utara berkenaan, ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan skuad Iran dijadualkan berlangsung di AS.

Pada asalnya, pasukan itu merancang untuk berkampung di AS namun keputusan saat akhir menyaksikan mereka menukar kem ke Mexico ekoran ketegangan geopolitik yang meruncing antara Tehran dan Washington.

Hubungan kedua-dua negara berada dalam keadaan tegang selepas tindakan AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada hujung Februari lalu walaupun situasi ketika ini dilaporkan berada di bawah fasa gencatan senjata yang rapuh.

Iran bakal memulakan kempen Piala Dunia menentang New Zealand pada 16 Jun ini di Los Angeles.

Selepas itu, mereka dijadualkan menentang Belgium yang juga akan berlangsung di Los Angeles sebelum menentang Mesir di Seattle bagi melengkapkan aksi peringkat kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!