[LAPORAN KHAS] Potensi besar bazar Ramadan di hujung jari

Peniaga bazar Ramadan perlu mengambil peluang daripada bisnes online.
Peniaga bazar Ramadan perlu mengambil peluang daripada bisnes online.
A
A
A

“INILAH masanya peniaga bazar Ramadan memulakan bisnes secara digital terutamanya menggunakan platform seperti media sosial, laman sesawang, e-Dagang dan sebagainya.”

Begitulah lontaran pendapat pengasas syarikat konsultasi bisnes pemasaran digital SifufBads Sdn Bhd, Jamaluddin Bahari atau lebih popular dengan nama panggilan Sifu Jamal.

Menurut Sifu Jamal, para peniaga bazar Ramadan tidak harus berpeluk tubuh di rumah meskipun kemungkinan besar tiada penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19.

“Sebenarnya potensi bisnes dalam talian adalah lebih besar, dengan satu butang sahaja capaian boleh mencecah ratusan malahan ribuan bakal pelanggan.

Sifu Jamal
Sifu Jamal

“Usahawan bazar Ramadan boleh wujudkan akaun Facebook, Instagram dan grup WhatsApp selain pelbagai platform lagi untuk mempromosikan barangan mereka,” kata Sifu Jamal kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Katanya, tiada masalah bagi peniaga yang mempunyai pelbagai item jualan berbeza untuk menyertai bisnes dalam talian, tetapi peniaga makanan digalakkan memfokuskan kepada beberapa menu utama sahaja dan selebihnya sebagai add on menu bagi menarik minat pelanggan.

Ditanya apakah langkah-langkah yang perlu diambil para peniaga bazar Ramadan yang ingin memulakan bisnes dalam talian, beliau menegaskan, langkah pertama peniaga perlu mempunyai produk utama yang boleh ditonjolkan, cipta jenama tersendiri sama ada menggunakan nama sendiri atau nama menu.

Artikel Berkaitan:

“Kedua, cipta platform digital pilihan masing-masing dengan nama yang telah dipilih dan masukkan maklumat tentang produk dan bisnes. Contohnya, cara untuk memesan produk.

“Langkah seterusnya ialah kongsi gambar atau video berserta ayat memikat, atau memainkan emosi yang juga disebut copy writing yang menarik. Contohnya video bagaimana sesuatu produk itu dihasilkan atau juga video review ia dihasilkan,” kata Sifu Jamal sambil menambah setelah semua langkah tersebut diambil para peniaga harus melakukan pelbagai cara promosi bagi menarik pelanggan.

Cipta produk yang unik untuk memberi lebih tarikan dalam pemasaran di e-Bazar.
Cipta produk yang unik untuk memberi lebih tarikan dalam pemasaran di e-Bazar.

“Jika ada bajet boleh melakukan pengiklanan berbayar menerusi FB Ad, IG dan sebagainya dan bila ada pelanggan masuk akan ada potensi pembelian. Seterusnya fikirkan bagaimana penghantaran akan dibuat sama ada pelanggan ambil sendiri tempahan atau dihantar menggunakan rider.

“Seterusnya follow up dengan pelanggan yang telah membuat pembelian untuk dijadikan testimoni, jaga pelanggan tersebut bagi memastikan mereka terus membeli sepanjang bulan Ramadan,” katanya lagi.