Terus tumpaskan kumpulan penjenayah 'hardcore'

DUA penjenayah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Bandar Seri Putra, Kajang, 25 Mei lalu.
Syabas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi tindakan cekap dan pantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) membanteras kumpulan penjenayah 'hardcore' yang melakukan kes samun kediaman.
Merak Jalanan percaya keupayaan pegawai dan anggota PDRM dalam usaha mengekang jenayah kekerasan. Berdasarkan kes-kes sebelum ini, kumpulan penjenayah sebegini bersenjata dalam melakukan aktiviti mereka.
Sudah pasti apabila bersenjata, risiko kecederaan itu mesti ada apatah lagi apabila suspek ini berasa terancam.
Merak Jalanan percaya PDRM akan terus melakukan risikan dan tindakan dalam usaha menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Kumpulan penjenayah ini perlu terus dibongkar tanpa kompromi kerana mendapatkan untung hasil pelakuan jenayah sehingga menjejaskan keselamatan dan nyawa mangsa.
Jika kita lihat kes-kes tular sebelum ini, ada yang guna senjata tajam seperti parang serta pistol tidak kira di premis kediaman atau perniagaan.
Lebih membimbangkan, terdapat kes apabila pertikaian antara kumpulan ini melibatkan sehingga pertumpahan darah.
Merak Jalanan beranggapan tiada kompromi untuk banteras jenayah. Kalau lihat kenyataan pihak polis, suspek yang ditahan atau ditumpaskan ini memiliki banyak rekod jenayah, bahkan kes dadah pun ada.
Tindakan pihak berkuasa seperti PDRM membanteras kes jenayah perlu mendapat sokongan semua pihak, bukannya dipertikai.
Sudah pasti semua orang mahukan keamanan dan ketenangan. Kalau ada maklumat jenayah terus salurkan kepada pihak berwajib untuk tindakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
