SOP aktiviti pendakian perlu disemak - Lam Thye

SHAH ALAM – Pihak berkuasa digesa menjalankan semakan menyeluruh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) aktiviti pendakian di seluruh negara bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa ditambah baik mengikut perkembangan semasa.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, meskipun aktiviti rekreasi itu memberi manfaat kepada kesihatan, peningkatan kes kehilangan pendaki menunjukkan keperluan mendesak untuk penambahbaikan SOP.
Menurutnya, beberapa insiden kecemasan kebelakangan ini turut menyaksikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa digerakkan secara kerap oleh pelbagai agensi penyelamat.
“Setiap kali berlaku kes kehilangan atau kemalangan melibatkan pendaki, operasi SAR melibatkan penggunaan sumber manusia, aset dan kos yang besar.
“Ia turut melibatkan komitmen tinggi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta sukarelawan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, seorang remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa pada 23 Mei lalu, ditemui meninggal dunia pada Selasa.
Pada hari sama, seorang lagi wanita, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih dan operasi pencarian masih diteruskan.
Mengulas lanjut, Lee Lam Thye berkata anggota penyelamat turut berdepan risiko ketika menjalankan operasi di kawasan mencabar.
Beliau menegaskan pelaksanaan SOP wajar dipertimbangkan termasuk mewajibkan pendaftaran pendaki di kawasan hutan simpan serta mewujudkan sistem daftar masuk dan keluar secara digital bagi memudahkan pengesanan awal.
“Pihak berkuasa juga perlu mewajibkan penggunaan jurupandu bertauliah bagi laluan berisiko atau yang mempunyai tahap kesukaran tinggi.
“Penggunaan teknologi moden seperti Sistem Kedudukan Global (GPS), alat pengesan lokasi, dron dan sistem amaran kecemasan juga boleh membantu mempercepatkan usaha menyelamat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih
'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan
Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat
Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda
Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan
Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu
Beliau turut mencadangkan penubuhan pangkalan data kebangsaan berkaitan insiden pendakian serta mempergiat kempen kesedaran keselamatan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah aspek persediaan sebelum melakukan aktiviti pendakian.
“Ramai pendaki didapati mendaki secara bersendirian, mengabaikan amaran cuaca, keluar daripada laluan ditetapkan atau gagal membawa peralatan keselamatan mencukupi.
“Langkah keselamatan ini bukan bertujuan menyekat aktiviti rekreasi, sebaliknya memastikan rakyat dapat menikmati keindahan alam semula jadi dengan selamat dan bertanggungjawab.
“Kehilangan walaupun satu nyawa akibat kelemahan aspek keselamatan adalah terlalu banyak. Oleh itu, semakan SOP dan pengukuhan langkah pencegahan perlu dilaksanakan segera,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

