Kamera pengawasan kesan kelibat Jaslinda

Kamera pengawasan hidupan liar milik Perhilitan di Gunung Batu Putih berjaya merakam imej Jaslinda melintasi laluan tersebut jam 11.22 pagi pada 24 Mei lalu. Foto JBPM Perak
Kamera pengawasan hidupan liar milik Perhilitan di Gunung Batu Putih berjaya merakam imej Jaslinda melintasi laluan tersebut jam 11.22 pagi pada 24 Mei lalu. Foto JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Gopeng menyaksikan perkembangan positif apabila kelibat mangsa dirakam kamera pengawasan hidupan liar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, penemuan itu diperoleh hasil penelitian kandungan dua cip kad memori kamera pengawasan yang diambil pasukan penyelamat pada Sabtu.

Menurutnya, rakaman kamera pengawasan hidupan liar di sekitar Gunung Batu Putih itu mengesahkan Jaslinda melalui laluan menuju Kem Sukaneka ketika melakukan pendakian pada 24 Mei lalu.

Imej Jaslinda melintasi laluan tersebut dirakam pada jam 11.22 pagi pada 24 Mei lalu. Foto JBPM Perak
Imej Jaslinda melintasi laluan tersebut dirakam pada jam 11.22 pagi pada 24 Mei lalu. Foto JBPM Perak

"Dua kad memori daripada dua unit kamera pengawasan berjaya diambil pada jam 10.15 pagi dan pasukan terbabit dibawa turun semula menggunakan pesawat AW139 pada jam 1.15 tengah hari.

"Hasil penelitian mendapati terdapat rakaman imej mangsa melintasi Kamera 1 pada jam 11.22 pagi, 24 Mei lalu," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Sayani berkata, rakaman itu turut menunjukkan lapan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (STORM) serta seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) melalui lokasi sama pada jam 5.15 petang, 25 Mei lalu.

Katanya, tiada rakaman menunjukkan Jaslinda berpatah balik melalui laluan berkenaan manakala Kamera 2 pula tidak merakam sebarang imej mangsa atau pasukan penyelamat yang melalui laluan menuju Gunung Batu Bujang pada 24 dan 25 Mei.

Artikel Berkaitan:

Kamera sama turut memaparkan kehadiran pasukan SAR masing-masing pada 25 dan 28 Mei melintasi kawasan pencarian. Foto JBPM Perak
Kamera sama turut memaparkan kehadiran pasukan SAR masing-masing pada 25 dan 28 Mei melintasi kawasan pencarian. Foto JBPM Perak

ARTIKEL BERKAITAN: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih

'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan

Kronologi kehilangan Jaslinda

Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat

Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda

Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan

Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu

"Sehubungan itu, laluan ke Gunung Batu Bujang disahkan tidak dilalui oleh mangsa.

"Terdapat dua lagi persimpangan selepas Kamera 1 iaitu laluan ke Kem Sukaneka dan laluan ke kawasan water point. Laluan ke water point pula telah dihalang dengan kayu sebagai penanda bahawa ia bukan trek pendakian," katanya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad (dua kiri), mendengar penerangan daripada wakil Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) PELINDUNG, Liang Neo Song Wee (dua kanan), mengenai rakaman ‘camera trap’ yang dipasang di kawasan dipercayai lokasi mangsa pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, ketika ditemui di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) Bomba di Batalion 3 PGA, Bidor, hari ini. Foto Bernama.

Menurut beliau, rakaman Kamera 1 menguatkan lagi dapatan awal pasukan penyelamat yang menemui jejak tapak kasut serta botol air dipercayai milik mangsa di laluan menuju Kem Sukaneka.

Dalam perkembangan sama, Sayani memaklumkan seorang anggota pasukan penyelamat dari JBPM mengalami kecederaan pada bahagian paha, lutut dan buku lali ketika menjalankan operasi pencarian sejak Jumaat.

Beliau berkata, anggota berkenaan melakukan pencarian dari Kem Kantoi ke alur air menuju Sungai Busok sebelum menyusuri sungai itu sejauh kira-kira satu kilometer namun tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

Pegawai Hutan Daerah Tapah, Norliza Md, (kiri) bersama Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) PELINDUNG, Liang Neo Song Wee (kanan) membawa ‘footage camera trap’ yang diletakkan di kawasan dipercayai tempat mangsa pendaki wanita yang hilang Jaslinda Saludin, 49 ketika ditemui di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) Bomba di Batalion 3 PGA, Bidor di sini hari ini. Foto Bernama.

Jelasnya, anggota yang cedera bersama tiga lagi penyelamat lain kemudian dibawa keluar dari kawasan tersebut menggunakan pesawat AW139 melalui teknik winching.

Menurut Sayani, seramai 42 anggota penyelamat masih berada di lokasi dan meneruskan operasi yang melibatkan JBPM, Jabatan Perhutanan, Perhilitan, MGP serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Terdahulu, seramai 16 anggota terdiri daripada enam anggota STORM, dua anggota Team Pelindung Perhilitan, lima anggota Jabatan Perhutanan dan tiga MGP dihantar ke lokasi pencarian menggunakan pesawat AW139 pada pagi Sabtu.

Dengan tambahan pasukan sedia ada seramai 34 anggota yang berada di kawasan operasi sejak hari sebelumnya, jumlah keseluruhan anggota penyelamat yang terlibat dalam operasi pencarian meningkat kepada 50 orang.

Jaslinda sebelum ini dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua malim gunung pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti daripada kumpulan pendakian tersebut.

Bagaimanapun, Jaslinda dikatakan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi hari sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaslinda tinggal nota di puncak Gunung Batu Putih

'Ibu lasak dan berani' - Keluarga yakin Jaslinda mampu bertahan

Kronologi kehilangan Jaslinda

Pasukan SAR bermalam di puncak, operasi jejak Jaslinda dipergiat

Pasukan SAR jumpa botol air, bungkusan milik Jaslinda

Ops Gunung Batu Putih: Jaslinda mungkin tersasar, pencarian diteruskan

Ops Gunung Batu Putih: Operasi ditangguhkan, pencarian esok fokus Gunung Rayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!