Ancaman Hantavirus: APM CDA-08 beri amaran awal kepada peniaga

KOTA BHARU – Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) CDA-08 Ketereh turun menjelajah pasar-pasar utama sekitar Peringat dan Melor bagi menggerakkan kempen kesedaran awal berhubung ancaman Hantavirus serta penyakit bawaan tikus.
Ketua Kompeni Perubatan CDA-08 Ketereh, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA), Dr Nurul Ain Razali berkata, langkah kesedaran awal perlu digerakkan segera bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap risiko penyakit bawaan haiwan.
Menurut beliau, walaupun Hantavirus belum dilaporkan menular di negara ini, usaha pencegahan awal penting terutama ketika musim cuti sekolah dan musim haji yang menyaksikan pergerakan rakyat ke luar negara semakin meningkat.

"Risiko tetap ada apabila ramai melakukan perjalanan ke luar negara, berhimpun dan mempunyai kontak dengan masyarakat dari pelbagai negara termasuk kawasan yang pernah merekodkan jangkitan virus ini.
"Jadi, pendidikan kesihatan kepada masyarakat perlu dilakukan lebih awal supaya orang ramai faham langkah pencegahan terutama melibatkan kebersihan kawasan persekitaran," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Kempen setengah hari itu dilaksanakan dengan kerjasama APM Kota Bharu dan Klinik Warga Nurul Ain Peringat menerusi pengagihan risalah berkaitan simptom, punca jangkitan serta langkah pencegahan penyakit berkenaan.

Tumpuan diberikan terhadap aspek kebersihan kawasan berisiko tinggi terutama pasar awam yang menjadi lokasi tumpuan ramai.
Hadir sama ialah Pegawai APM Kota Bharu, Mejar (PA) Mohd Arif Mohd Zain dan Komander CDA-08 Ketereh, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan.
Sementara itu, Mohd Arif berkata, program bersama komuniti seperti itu penting bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit bawaan haiwan yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Katanya, kempen tersebut bukan sahaja memfokuskan ancaman Hantavirus, malah turut memberi penekanan kepada langkah pencegahan penyakit bawaan tikus dan haiwan lain secara menyeluruh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

