Bangunan runtuh di Filipina: Angka korban meningkat

ANGELES – Anggota penyelamat mengeluarkan dua lagi mayat dari bawah runtuhan bangunan yang sedang dibina di utara Filipina, sekali gus menjadikan angka korban meningkat kepada tiga orang, menurut pihak berkuasa pada Isnin.
Salah seorang daripada mereka ialah seorang rakyat Malaysia berusia 65 tahun.
Jasadnya ditemui pada Ahad dari bangunan hotel bersebelahan yang turut terjejas insiden tersebut.
Pegawai Maklumat di Biro Perlindungan Kebakaran, Maria Leah Sajili berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk menjejaki 17 lagi mangsa yang dilaporkan hilang.
"Alat imbasan haba mengesan tanda-tanda kumpulan yang terperangkap itu masih hidup. Sebahagian besar daripada mereka ialah pekerja binaan yang disenaraikan bertugas pada hari kejadian," jelasnya.
Difahamkan, siasatan telah dilancarkan untuk mengenal pasti punca sebenar runtuhan struktur setinggi sembilan tingkat di bandar Angeles tersebut.
Rekod perancangan menunjukkan bangunan yang runtuh itu pada asalnya diluluskan sebagai kondominium hotel sembilan tingkat, namun pihak berkuasa mendapati sebuah kolam renang sedang dibina di tingkat tambahan ke-10.
Datuk Bandar Angeles, Carmelo Lazatin berkata, pihak berkuasa berusaha mengesan pemilik bangunan untuk mendapatkan penjelasan termasuk jumlah sebenar pekerja di lokasi binaan tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

