Mat rempit kena 'pukat', motosikal diangkat lintas pembahagi jalan

Antara cubaan mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pada Ahad. Foto: Polis Selangor
Antara cubaan mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pada Ahad. Foto: Polis Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Motosikal diangkat melintasi pembahagi jalan lebuh raya dan longkang antara cubaan segelintir mat rempit melarikan diri selepas menyedari laluan di Plaza Tol Bukit Raja, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini ditutup polis pada Ahad.

Operasi Bersepadu Samseng Jalanan itu digerakkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Tindakan dijalankan dengan bantuan JSPT Bukit Aman, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Penutupan jalan dijalankan kira-kira jam 3 pagi selepas pemantauan dan risikan beberapa jam di lokasi operasi mengesan aktiviti samseng jalanan.

Difahamkan, lokasi itu menjadi ‘litar’ bagi menguji kelajuan motosikal yang telah diubah suai.

Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pada Ahad. Foto: Polis Selangor
Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pada Ahad. Foto: Polis Selangor

Polis Selangor dalam kenyataan memaklumkan bahawa sebanyak 103 kenderaan dan 120 individu berusia lingkungan 14 hingga 32 tahun telah diperiksa.

“Hasil operasi turut menyaksikan 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala 41 motosikal telah disita bagi tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, pihak AADK telah melaksanakan 50 pemeriksaan saringan rambang dan berjaya merekodkan lapan tangkapan melibatkan individu positif, iaitu tujuh positif ketum dan seorang positif ganja,” katanya pada Ahad.

Tambahnya, operasi itu dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan, selain memastikan keselamatan, ketenteraman serta pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik.

Mohd Zaini hadir meninjau Op Samseng Jalanan di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pada Ahad. Foto: Polis Selangor
Mohd Zaini hadir meninjau Op Samseng Jalanan di Lebuhraya NKVE, Shah Alam pada Ahad. Foto: Polis Selangor

Kesemua tangkapan dan sitaan motosikal telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Operasi itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan dan Ketua JSPT Selangor, Superintenden Edward Kondokor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!