Bergaduh ketika mabuk, lelaki maut bawah jambatan MRT

KUALA LUMPUR - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca kes pembunuhan seorang lelaki warga Myanmar di bawah jambatan transit aliran massa (MRT) Metro Prima di Kepong di sini pada Ahad.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.40 tengah hari yang melaporkan seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
"Susulan laporan berkenaan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah menjalankan operasi di sekitar kawasan Kepong kira-kira jam 12.30 tengah hari, Isnin.
"Hasil operasi itu, kita berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini pada Jumaat.
Jasni berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dan kesemua suspek ketika berada dalam keadaan mabuk sehingga mencetuskan pergaduhan.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
