Aktivis flotila Gaza tiba di Turkiye, dedah dipukul pasukan keselamatan Israel

Seorang wartawan Itali yang turut ditahan bersama aktivis flotila, Alessandro Mantovani mendedahkan mereka menerima layanan kasar ketika berada dalam tahanan Israel. Foto: Agensi
Seorang wartawan Itali yang turut ditahan bersama aktivis flotila, Alessandro Mantovani mendedahkan mereka menerima layanan kasar ketika berada dalam tahanan Israel. Foto: Agensi
A
A
A

ISTANBUL – Ratusan aktivis flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza tiba di Turkiye selepas dihantar pulang Israel susulan penahanan mereka ketika cuba memecahkan sekatan ke atas wilayah Palestin itu.

Kumpulan aktivis dari pelbagai negara tersebut ditahan pihak berkuasa Israel selepas kapal mereka dipintas di laut pada Isnin lalu dalam misi terbaharu menghantar bantuan ke Gaza.

Sumber Kementerian Luar Turkiye berkata, seramai 422 aktivis termasuk 85 rakyat negara itu diterbangkan keluar dari selatan Israel menggunakan tiga pesawat khas yang disewa Ankara.

Kumpulan pertama aktivis dilihat tiba di terminal VIP Lapangan Terbang Istanbul dan disambut penyokong yang membawa bendera Palestin.

Setibanya di Istanbul, seorang aktivis melaungkan sokongan terhadap Palestin sambil disambut sorakan orang ramai.

“Kami diseksa, dipukul dan ditahan di perairan antarabangsa, tetapi kami tidak akan berputus asa. Kami akan kembali,” katanya.

Seorang wartawan Itali yang turut ditahan bersama aktivis flotila, Alessandro Mantovani mendedahkan mereka menerima layanan kasar ketika berada dalam tahanan Israel.

“Mereka memukul kami. Mereka menendang dan menumbuk kami sambil menjerit ‘Selamat datang ke Israel’,” katanya kepada media di Itali selepas dibebaskan.

Beliau berkata, kumpulan itu turut digari dan dirantai pada kaki sebelum dibawa menaiki penerbangan keluar dari Israel menuju Athens.

Artikel Berkaitan:

Pusat bantuan guaman Adalah yang mewakili aktivis flotila memaklumkan kebanyakan mereka ditahan di Penjara Ktziot di Gurun Negev berhampiran Gaza.

Pengarah guamannya, Suhad Bishara berkata, sekurang-kurangnya dua aktivis dimasukkan ke hospital selepas ditembak dengan peluru getah manakala beberapa lagi dipercayai mengalami kecederaan tulang rusuk.

Israel sebelum ini mengesahkan semua aktivis asing daripada flotila berkenaan telah dihantar pulang dan menegaskan negara itu tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran sekatan laut ke atas Gaza.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein menyifatkan misi flotila tersebut sebagai ‘gimik propaganda’.

Kontroversi turut memuncak selepas Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir memuat naik video menunjukkan aktivis ditahan dengan tangan terikat dan kepala tunduk ke tanah sambil mengejek mereka dengan ucapan ‘Selamat datang ke Israel’.

Tindakan itu mencetuskan kecaman antarabangsa termasuk dari Itali, Sepanyol, Ireland dan United Kingdom yang menyifatkan layanan terhadap aktivis tersebut tidak boleh diterima.

Sekitar 50 kapal di bawah Global Sumud Flotilla berlayar dari Türkiye minggu lalu dalam usaha terbaharu mencabar sekatan Israel ke atas Gaza selepas satu konvoi bantuan lain dipintas bulan lalu.

Israel mengawal semua pintu masuk ke Gaza sejak mengenakan sekatan ke atas wilayah itu pada 2007.

Sejak perang Gaza tercetus, wilayah berkenaan berdepan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas akibat sekatan serta serangan berterusan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!