Era kejatuhan Netanyahu kian hampir

Penunjuk perasaan memegang plakad yang tertera slogan menuntut pengunduran Netanyahu. - Agensi
Penunjuk perasaan memegang plakad yang tertera slogan menuntut pengunduran Netanyahu. - Agensi
A
A
A

ISRAEL kini memasuki satu lagi fasa politik paling genting selepas rang undang-undang (RUU) pembubaran Knesset (Parlimen) diluluskan pada Rabu, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya awal.

Langkah itu dilihat pengkritik sebagai permulaan kepada ‘era kejatuhan’ Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, 76, selepas mendominasi politik di Tel Aviv selama lebih sedekad.

Krisis berkenaan tercetus apabila sekutu ultra-Ortodoks yang menjadi tulang belakang Netanyahu mula menarik sokongan susulan pertikaian mengenai langkah pengecualian khidmat tentera untuk golongan tersebut.

Golongan ultra-Ortodoks mahu terus dikecualikan daripada khidmat ketenteraan, namun tekanan semakin meningkat supaya semua kesemua komuniti Yahudi diberi tanggungjawab sama.

Pertembungan itu akhirnya mencetuskan konflik besar yang menggoncang kerajaan rejim Tel Aviv.

Perpecahan dalaman itu melemahkan kerajaan gabungan ‘ekstremis’ yang sebelum ini turut goyah dek pertelingkahan politik dan peperangan serantau.

Bagi Netanyahu, kehilangan sokongan sekutu bermakna kehilangan majoriti di Knesset yang boleh menjatuhkan kerajaannya pada bila-bila masa.

Kehilangan beberapa kerusi sahaja sudah cukup untuk menumbangkan kerajaan.

Lebih memburukkan keadaan, sokongan penduduk Israel terhadap Netanyahu terus merosot sejak perang ganas meletus di Genting Gaza pada 7 Oktober 2023.

Artikel Berkaitan:

Perang yang berlarutan di Gaza pula menambahkan tekanan terhadapnya. Walaupun kerajaan Israel mendakwa operasi ketenteraan itu kononnya bertujuan menghapuskan Hamas, perang itu telah menyebabkan kemusnahan besar, krisis kemanusiaan dan tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin memuncak.

Demonstrasi antikerajaan berlaku hampir setiap minggu di Tel Aviv dan beberapa bandar utama lain dengan ribuan rakyat Israel menuntut pengunduran Netanyahu.

Banyak pihak menuding jari menyalahkan kepimpinan sekutu kuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu atas kegagalan keselamatan paling memalukan dalam sejarah moden.

Penunjuk perasaan berkumpul menggesa Netanyahu meletak jawatan. - Agensi
Penunjuk perasaan berkumpul menggesa Netanyahu meletak jawatan. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Video kontroversi layanan kejam aktivis pro-Palestin cetus kemarahan antarabangsa 

Kerbau 'Trump’ dan ‘Netanyahu’ jadi tumpuan menjelang Aidiladha di Bangladesh

Kerajaan Israel di ambang runtuh, Netanyahu berdepan tekanan politik

Populariti merudum

Pada masa sama, ekonomi Israel turut menerima kesan besar akibat perang berpanjangan. Pelaburan asing mula perlahan, sektor pelancongan merosot dan kos ketenteraan meningkat mendadak.

Ketidakstabilan politik pula menyebabkan keyakinan terhadap kerajaan semakin lemah. Gabungan faktor keselamatan, ekonomi dan krisis dalaman menjadikan kedudukan Netanyahu kini berada di hujung tanduk.

Lebih membimbangkan Netanyahu adalah kemunculan semula blok pembangkang yang semakin kuat. Tokoh seperti Yair Lapid dan Naftali Bennett cuba membentuk gelombang politik baharu dengan membawa imej ‘penyatuan nasional’ selepas bertahun-tahun politik Israel dilanda perpecahan serta retorik ekstrem.

Popularitinya juga tidak segah dahulu walaupun Netanyahu masih mempunyai penyokong setia terutamanya dalam kalangan nasionalis sayap kanan.

Tinjauan semasa menunjukkan ramai penduduk Israel mula hilang keyakinan terhadap kepimpinannya, terutama generasi muda dan kelompok sederhana yang kecewa dengan krisis politik tanpa penghujung.

Ironinya, Netanyahu sebelum ini dikenali sebagai ahli politik paling licik dan paling sukar disingkirkan kerana dianggap ‘kebal’ kerana menjadi boneka Trump.

Pada kali ini situasinya berbeza, tekanan datang serentak daripada rakyat, pembangkang, sekutu politik sendiri dan komuniti antarabangsa.

Selain krisis politik, Netanyahu juga masih berdepan kes perbicaraan yang telah sekian lama menghantui karier politiknya.

Skandal rasuah itu terus mencalar reputasinya dan menjadi senjata utama pembangkang untuk menyerang kepimpinannya.

Pembubaran Knesset menjadi simbol jelas bahawa era pemerintahan Netanyahu mungkin sudah sampai ke penghujung.

Pilihan raya awal tersebut akan menjadi penentu sama ada penduduk Israel masih mahu mengekalkannya sebagai pemimpin atau memilih untuk membuka lembaran baharu yang bebas daripada cengkaman pemimpin kontroversi berkenaan.

INFO

>Tarikh pilihan raya awal masih belum ditetapkan. Israel sepatutnya mengadakan pilihan raya umum setiap tempoh empat tahun, namun pilihan raya awal kerap berlaku. Pilihan Raya Umum terakhir diadakan pada November 2022 dan pengundian seterusnya dijadual berlangsung selewat-lewatnya pada 27 Oktober depan.

>Rang undang-undang (RUU) itu akan dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk penetapan tarikh pilihan raya sebelum dikembalikan semula bagi kelulusan akhir. Pada peringkat itu, ia memerlukan sokongan majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 61 daripada 120 ahli Knesset. Proses tersebut boleh berlangsung dengan kadar segera atau mengambil masa beberapa minggu.

>Pencabar utama Netanyahu ialah Naftali Bennett, bekas pembantunya sendiri yang pernah menyingkirkannya menerusi Pilihan Raya Umum 2021 sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!