Netanyahu tegur keras tindakan keterlaluan Ben-Gvir

Tangkapan layar menunjukkan layanan tidak berperikemanusiaan diterima kira-kira 430 aktivis pro-Palestin. Foto Agensi
Tangkapan layar menunjukkan layanan tidak berperikemanusiaan diterima kira-kira 430 aktivis pro-Palestin. Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Tindakan tidak berperikemanusiaan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir ke atas aktivis pro-Palestin mengundang teguran keras Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu selepas provokasi melampau itu mencetuskan gelombang kecaman komuniti antarabangsa.

"Perbuatannya tidak selaras dengan nilai dan norma rejim Tel Aviv meskipun kami berhak untuk menghalang flotila kemanusiaan ke Gaza," katanya.

Ben-Gvir pada Rabu turut memuat naik video mengejek kira-kira 430 peserta Global Sumud Flotilla yang ditahan di perairan antarabangsa dalam keadaan tangan mereka diikat di belakang dan posisi seperti bersujud.

"Mereka datang ke sini dengan penuh megah kononnya seperti wira besar. Tengoklah keadaan mereka sekarang," sindirnya dengan angkuh sambil meminta kebenaran Netanyahu untuk memenjarakan kesemua aktivis antarabangsa tersebut bagi tempoh yang lama.

Netanyahu bagaimanapun menolak permintaan itu dan mengarahkan kesemua mereka dideportasi secepat mungkin.

Menteri Luar, Gideon Saar turut berang dengan perbuatan keterlaluan Ben-Gvir yang disifatkan memalukan dan tidak mencerminkan 'wajah Israel' setelah negara antarabangsa mengutuk layanan tidak beradab itu. - Agensi

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!