Pemantauan, sekatan lebih ketat di Rembau

Mohamad Mat Yusop
Mohamad Mat Yusop
A
A
A

SEREMBAN – Polis tidak menolak kemungkinan akan menjalankan pemantauan dan sekatan jalan raya lebih ketat di daerah Rembau susulan wujud sub-kluster baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) di empat lokaliti dalam daerah itu.

Lokaliti berkenaan ialah Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, buat masa ini tindakan dilakukan pihaknya masih sama namun masyarakat di daerah itu diharap dapat mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi peraturan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita akan bersedialah jika ada apa-apa yang berlaku dan keperluan untuk kita ambil langkah lebih ketat bergantung apa yang dimaklumkan oleh KKM atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Setakat ini tindakan kita masih seperti biasa, tiada perubahan. Kita akan tunggu jika ada pengumuman terbaharu dari KKM dan MKN yang memerlukan kita melaksanakan PKP yang lebih ketat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Sumbangan Buah-Buahan dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddn Harun.

Selain itu beliau berkata, sehingga semalam, seramai 286 individu termasuk warga asing telah ditangkap di seluruh negeri ini atas kesalahan melanggar arahan PKP.

Bagaimanapun katanya, kepatuhan rakyat negeri ini termasuk pemilik premis dan rumah ibadat terhadap arahan PKP mencapai tahap 98 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Saya nampak ramai yang faham arahan PKP ini, cuma ada sikit-sikit yang masih degil dan tindakan terhadap mereka terpaksa diambil,” katanya.