Memperkuat literasi kebijakan luar negeri dalam era diplomasi Madani

SEBAGAI mahasiswi program mobilitas dari President University, Bekasi, Indonesia, saya merasa sangat beruntung kerana berkesempatan menghadiri “Program Dialog Mahasiswa: Memperkasa Literasi Dasar Luar Malaysia” anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa, UUM, pada Khamis.
Bagi saya, kehadiran dalam program ini merupakan pengalaman yang sangat bermakna kerana membantu memperluas pemahaman dan wawasan mahasiswa seperti saya mengenai kebijakan luar negeri Malaysia di bawah Kerajaan Madani.
Difahamkan program ini merupakan siri keempat setelah sebelumnya berlangsung siri pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), siri kedua di Universiti Malaya (UM) dan siri ketiga di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Ucapan utama disampaikan oleh Tunku Nashrul Tunku Abaidah, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, selain Abdul Razak Sharif, Pegawai Khas I, Bahagian Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri, dan Mohamad Raimi Ab Rahim, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Agama dan Hubungan Strategik, Pejabat Perdana Menteri.
Dalam ucapan Tunku Nashrul yang bertemakan Pendekatan Diplomasi Madani dari Sudut Media, beliau menegaskan bahawa dunia saat ini sedang mengalami perubahan geopolitik yang sangat cepat dan tidak menentu.
Dalam situasi seperti ini, kebijakan luar negeri tidak lagi bergerak hanya melalui saluran diplomatik tradisional semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh media, opini publik dan perang naratif global.
Inti penting ucapan beliau ialah media kini telah menjadi medan diplomasi baharu. Dalam era digital, sesebuah negara bukan sahaja dinilai melalui kenyataan rasmi kerajaan atau rundingan diplomatik tertutup, tetapi juga melalui bagaimana naratif negara tersebut dibentuk, disebarkan dan dipertahankan di ruang publik.
Konflik Palestina, perang dagang Amerika Serikat-China dan ketegangan geopolitik regional membuktikan bahawa media arus perdana, media sosial dan platform digital memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat global.
Sebab itu, Tunku Nashrul menekankan bahawa media perlu menjadikan dasar luar sebagai naratif rakyat dan bukan sekadar naratif protokol. ASEAN, misalnya, tidak boleh dilihat hanya sebagai persidangan para pemimpin, tetapi perlu diterjemahkan kepada isu yang dekat dengan rakyat seperti peluang pekerjaan, investasi, keselamatan pangan, teknologi dan mobilitas regional.
Begitu juga hubungan Malaysia dengan Amerika Serikat, China atau negara-negara Timur Tengah tidak seharusnya dibaca secara sempit sebagai hubungan kuasa besar semata-mata, tetapi sebagai peluang ekonomi, investasi dan keyakinan pasar.
Pendekatan ini sangat penting kerana sebahagian masyarakat masih melihat diplomasi sebagai sesuatu yang jauh daripada kehidupan sehari-hari. Padahal hakikatnya, kebijakan luar negeri mempengaruhi harga barang, nilai Ringgit, peluang pekerjaan, akses teknologi, investasi asing dan kestabilan negara.

Ucapan Tunku Nashrul juga menarik perhatian saya apabila beliau menghubungkan Diplomasi Madani dengan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan. Kebijakan luar negeri Malaysia bukan sekadar bertujuan menjaga kepentingan ekonomi, tetapi turut mempertahankan prinsip moral negara.
Sebab itu Malaysia kekal konsisten dalam isu Palestina, tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan terus mendukung hak rakyat Palestina melalui bantuan kemanusiaan, pendirian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerja sama OIC dan solidaritas rakyat.
Namun demikian, beliau juga menjelaskan bahawa prinsip moral tidak bermaksud Malaysia meninggalkan pragmatisme. Malaysia masih perlu berhubung dengan semua kuasa besar, menjaga perdagangan, menarik investasi dan memastikan hubungan strategik negara tidak terjejas.
Di sinilah letaknya kehalusan Diplomasi Madani, iaitu berprinsip tanpa menjadi kaku, pragmatik tanpa kehilangan maruah dan terbuka tanpa tunduk kepada mana-mana blok kuasa.
Sementara itu, ucapan Abdul Razak pula memberikan kerangka yang lebih luas tentang bagaimana kebijakan luar negeri Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bergerak daripada non-alignment tradisional kepada active non-alignment.
Beliau membezakan pendekatan lama yang lebih neutral, berhati-hati dan mengelakkan konfrontasi dengan pendekatan baharu yang lebih aktif, vokal dan strategik. Malaysia hari ini tidak sekadar berkecuali, tetapi mengambil pendirian bebas berdasarkan kepentingan negara, berhubung dengan semua kuasa besar tanpa ketergantungan dan bersuara dalam isu global apabila diperlukan.
Ini merupakan perubahan penting dalam memahami kebijakan luar negeri Malaysia. Dalam dunia multipolar saat ini, negara kecil dan sederhana tidak boleh sekadar memilih pihak. Mereka perlu memilih strategi.
Abdul Razak mengungkapkan persoalan penting bahawa isu hari ini bukan lagi “pihak mana yang kita sokong?” tetapi “bagaimana Malaysia kekal relevan tanpa kehilangan jati dirinya?”.
Abdul Razak turut menegaskan bahawa hal ehwal antarabangsa sebenarnya sudah mempengaruhi kehidupan harian rakyat melalui nilai Ringgit, harga makanan, peluang pekerjaan, biasiswa, akses teknologi dan ekonomi digital.
Beliau juga menjelaskan bahawa dunia telah berubah daripada sistem unipolar kepada multipolar. Dominasi Amerika Serikat semakin dicabar, China semakin meningkat, Global South semakin berani dan institusi antarabangsa semakin dipertikaikan. Dalam sistem seperti ini, negara yang pasif akan mudah dipinggirkan.
Menurut Abdul Razak, Malaysia kini sedang berubah daripada pemain yang senyap kepada active middle power, daripada neutral kepada strategic equidistance, daripada ASEAN yang pasif kepada pencorak agenda dan daripada diplomasi senyap kepada suara yang berasaskan nilai. Malaysia tidak meninggalkan neutraliti, tetapi sedang mentakrifkannya semula.
Salah satu lontaran paling menarik dalam ucapan beliau ialah Malaysia tidak perlu menjadi suara paling lantang di dunia, tetapi perlu menjadi negara yang dipercayai. Ungkapan “not the loudest voice, the trusted one” menggambarkan pendekatan Malaysia yang mahu membina kredibilitas, kesederhanaan dan kepercayaan strategik dalam hubungan antarabangsa.
Satu lagi aspek penting ialah Diplomacy of Conscience di mana Abdul Razak mengemukakan persoalan sama ada sesebuah negara boleh menjadi strategik dan bermoral pada masa yang sama. Jawapannya, dalam konteks Malaysia di bawah Anwar Ibrahim, nilai dan strategi boleh bergerak bersama.
Malaysia boleh mengkritik kekejaman Israel, mempertahankan Palestina dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan strategik dengan kuasa besar demi kepentingan ekonomi dan keselamatan negara.
Ini selari dengan hujah Tunku Nashrul bahawa isu Palestina bukan sekadar isu luar negeri, tetapi juga cerminan pendirian Malaysia terhadap keadilan dan kemanusiaan. Dengan kata lain, kebijakan luar negeri Malaysia bukan hanya bertanya “apa untungnya kepada kita?”, tetapi juga “apa pendirian moral kita sebagai negara berdaulat?”.

Dalam pada itu, Mohamad Raimi pula menjelaskan bahawa amalan dasar luar Madani bertunjangkan nilai Al-Quran dan sunnah dalam mengangkat prinsip kesederhanaan, kestabilan, tata kelola yang baik, kebijaksanaan serta nilai kemanusiaan sejagat.
Menurut beliau, Islam pada hakikatnya membawa maksud keamanan dan rahmat kepada seluruh alam. Justeru, pendekatan Islam dalam hubungan antarabangsa menolak segala bentuk ekstremisme serta menekankan nilai toleransi, keseimbangan dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama, budaya dan peradaban dalam masyarakat dunia.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia semakin diiktiraf sebagai antara negara yang memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat Islam di peringkat antarabangsa.
Dalam konteks hubungan luar negeri, pendekatan ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja teguh mempertahankan prinsip Islam, tetapi juga mampu berinteraksi secara harmonis dan konstruktif dengan negara-negara lain tanpa mengira latar belakang kepercayaan.
Sebagai contoh, inisiatif mencetak dan mengagihkan sejuta naskhah Al-Quran kepada komuniti Islam di seluruh dunia bukan sekadar usaha dakwah, tetapi turut mencerminkan pelaksanaan Diplomasi Madani yang berteraskan nilai ilmu, pencerahan dan perpaduan umat.
Secara keseluruhannya, Program Dialog Mahasiswa AKM di UUM ini berjaya membina jambatan antara kebijakan luar negeri, media, mahasiswa dan kepentingan negara. Gabungan seluruh ucapan ini menjelaskan bahawa Diplomasi Madani merupakan pendekatan dasar luar yang cuba mengimbangi nilai dan kepentingan, moral dan strategi, prinsip dan pragmatisme serta identiti nasional dan keperluan global.
Bagi saya sebagai mahasiswi dari Indonesia yang sedang mengikuti program mobilitas di Malaysia, program seperti ini sangat signifikan kerana membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami bahawa kebijakan luar negeri bukan sekadar isu di Putrajaya semata-mata, tetapi turut berkait dengan masa depan generasi muda, kedudukan Malaysia di dunia, keselamatan regional, peluang ekonomi dan maruah negara.
Program seperti ini bukan sahaja wajar diteruskan, malah sangat baik jika diperluaskan ke lebih banyak institusi pengajian tinggi kerana literasi dasar luar merupakan antara elemen penting dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap dinamika geopolitik dan hubungan antarabangsa.
*** Ameera Parsha Layla ialah mahasiswi program mobilitas Universiti Utara Malaysia dari President University, Bekasi, Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
