'Jangan takut cuba perkara baharu' – Pesanan terakhir bapa buat anak

Urusan pengurusan jenazah berjalan lancar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada Khamis.
Urusan pengurusan jenazah berjalan lancar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Jangan takut cuba perkara baharu dalam mencari pekerjaan, demikian pesanan terakhir Allahyarham Abdul Rahman Ibrahim, 58, kepada anak bongsunya sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam (HSA) pada awal pagi Khamis.

Allahyarham, yang merupakan kakitangan setia syarikat Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB), disahkan meninggal dunia pada jam 1.29 pagi Khamis selepas dikejarkan ke hospital akibat serangan strok dan pengsan di tempat kerja pada petang Rabu.

Bagi anak bongsunya, Muhamad Iman Haziq, 26, perbualan akhir bersama bapanya dipenuhi dengan titipan nasihat yang mendalam mengenai masa depan dan dunia kerjaya.

Allahyarham Abdul Rahman Ibrahim, 58.
Allahyarham Abdul Rahman Ibrahim, 58.

Muhamad Iman, yang baharu sahaja meraikan hari konvokesyen bagi jurusan Pengurusan Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada Ahad lepas, mengakui bapanya sangat mengambil berat tentang langkah pertamanya ke alam pekerjaan.

"Sejak akhir-akhir ini, fokus perbualan kami memang banyak terarah kepada masa depan saya kerana baru sahaja bergelar graduan.

"Ayah sering memberikan galakan dan menasihati saya supaya berusaha bersungguh-sungguh serta jangan takut untuk mencuba perkara baharu dalam mencari pekerjaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Nasihat tersebut mencerminkan keperibadian Allahyarham sendiri yang sangat komited dan berdedikasi tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang hayatnya, Allahyarham Abdul Rahman telah menaburkan bakti sebagai operator cetak di UPSB selama 32 tahun 1 bulan sejak mula berkhidmat pada 15 April 1994.

Menurut Muhamad Iman, rutin harian bapanya adalah keluar rumah seawal jam 7 pagi demi memastikan dia tiba sebelum waktu bekerja bermula pada jam 8 pagi, dan sering pulang lewat sekitar jam 7 malam sekiranya perlu melakukan kerja lebih masa (OT).

"Saya menerima berita mengenai bapa melalui mesej aplikasi WhatsApp daripada kakak ipar, selepas panggilan daripada pihak pengurusan sumber manusia (HR) tidak sempat saya jawab dan bapa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di Hospital Shah Alam," katanya.

Sebelum insiden ini, Allahyarham dilaporkan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kolesterol serta bergantung kepada ubat-ubatan, namun berada dalam keadaan stabil.

Allahyarham Abdul Rahman meninggalkan seorang balu, Erniwati Muhamad Nasir, bersama dua orang anak lelaki iaitu Muhamad Aiman Syafiq, 29, dan Muhamad Iman Haziq, 26.

Urusan pengurusan jenazah berjalan lancar dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada Khamis.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!