Parlimen Malaysia pantau isu Dara, Amoi dan Kelat

TAIPING – Isu melibatkan tiga gajah Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) yang kini ditempatkan di Jepun memasuki fasa baharu apabila Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia mula meneliti perkara itu termasuk merancang lawatan ke negara berkenaan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, lawatan tersebut merupakan sebahagian proses pengumpulan maklumat dan penelitian menyeluruh berhubung aspek pengurusan serta kebajikan tiga gajah berkenaan iaitu Dara, Amoi dan Kelat.
Menurutnya, MPT akan memberikan kerjasama penuh kepada jawatankuasa berkenaan serta mana-mana pihak berkaitan bagi memastikan isu tersebut dapat diperjelaskan kepada orang ramai berdasarkan fakta dan penilaian menyeluruh.
Dalam masa sama, beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama antara ZTNS dan Tennoji Zoo Osaka (TZO) turut diwujudkan sebagai mekanisme memantau perkembangan, kebajikan serta pengurusan tiga haiwan berkenaan.
Katanya, mesyuarat itu akan berlangsung dari semasa ke semasa melibatkan pelbagai perkara termasuk perkembangan program, isu pengurusan dan aspek kebajikan haiwan.
"Selain itu, pihak TZO juga diwajibkan menyediakan laporan tahunan berkaitan keadaan kesihatan, perkembangan serta pengurusan gajah untuk semakan pihak berkaitan.
“MPT bersama agensi berkaitan turut mempunyai hak menjalankan audit serta pemantauan berkala bagi memastikan semua syarat perjanjian dan aspek kebajikan haiwan dipatuhi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertanyaan pelbagai pihak berhubung mengapa salinan penuh perjanjian kerjasama antara kedua-dua institusi tidak didedahkan kepada umum sehingga menimbulkan persepsi kononnya wujud isu ketelusan.
Mohamed Akmal menjelaskan, dokumen perjanjian tersebut merupakan dokumen rasmi kerajaan berstatus sulit dan tertakluk kepada aspek perundangan serta obligasi profesional yang tidak boleh dikongsikan secara terbuka.
Bagaimanapun katanya, intipati utama perjanjian telah dikongsikan kepada umum menerusi kenyataan media dan sesi penerangan melibatkan aspek kebajikan haiwan, pemantauan kesihatan, tanggungjawab kedua-dua pihak serta komitmen terhadap konservasi.
Beliau berkata, setiap terma yang dipersetujui diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek perundangan, kebajikan haiwan, konservasi serta amalan terbaik antarabangsa.
"Ia termasuk merujuk kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Malaysian National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) serta garis panduan World Association of Zoos and Aquariums,” katanya.
Tambah beliau, TZO bertanggungjawab memastikan kebajikan, kesihatan, pemakanan, rawatan veterinar dan pengurusan harian gajah dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa selain menyediakan kemudahan serta program pengayaan persekitaran secara berterusan.
Katanya, perjanjian itu turut menetapkan beberapa sekatan termasuk larangan terhadap sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kebajikan haiwan atau melibatkan hibridisasi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang tindakan menamatkan program kerjasama berkenaan tidak boleh dibuat secara unilateral, sebaliknya perlu mematuhi syarat serta peruntukan yang telah dipersetujui.
Jelasnya, sebarang keputusan termasuk proses pemulangan gajah atau repatriasi perlu dibuat berdasarkan penilaian sewajarnya serta disokong bukti munasabah khususnya jika melibatkan dakwaan pengabaian kebajikan haiwan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

