Papan iklan anti-India cemari kempen pilihan raya tempatan Taiwan

TAIPEI – Seorang calon pilihan raya tempatan di Taiwan dikecam hebat selepas memasang papan iklan anti-India yang didakwa berunsur perkauman bagi membantah pengambilan pekerja migran dari negara itu.
Papan iklan tersebut memaparkan bendera India bersama imej lelaki berturban dengan simbol larangan sebagai tanda bantahan terhadap rancangan Taiwan mengambil pekerja migran dari India.
Calon bebas di Kaohsiung City, Lee Hung-yi mengakui beliau memasang papan iklan itu bagi menyuarakan penentangan terhadap dasar kerajaan Taiwan berkaitan pengambilan pekerja dari India.
Tindakan tersebut bagaimanapun mencetuskan kemarahan ramai pengguna media sosial selain dikecam ahli politik tempatan dan kerajaan Taiwan sendiri.
Pejabat Perwakilan Taiwan di New Delhi turut mengeluarkan kenyataan mengecam sebarang bentuk prejudis, perkauman dan diskriminasi terhadap rakyat India.
“Kenyataan berat sebelah seperti itu tidak mewakili pendirian kami,” menurut kenyataan Taipei Economic and Cultural Centre (TECC).
Pejabat itu turut menegaskan Taiwan kekal komited terhadap nilai demokrasi, keterangkuman dan hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih erat bersama India.
Seorang warga India di Taiwan menyifatkan papan iklan tersebut sebagai bentuk diskriminasi kaum secara terang-terangan.
Katanya, bantahan terhadap dasar pekerja migran boleh dilakukan, namun penggunaan simbol budaya dan ciri fizikal untuk membangkitkan kebencian terhadap sesuatu kaum adalah tidak wajar.
Kontroversi itu tercetus ketika Taiwan meneruskan rancangan mengambil pekerja migran dari India susulan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-dua negara pada 2024.
Perjanjian tersebut membuka laluan kepada pengambilan pekerja India dalam sektor pembuatan, pertanian dan penjagaan warga emas.
Menteri Buruh Taiwan, Hung Sun-han dilaporkan berkata negara itu dijangka menerima kira-kira 1,000 pekerja India menerusi projek perintis pada 2026.
Bagaimanapun, rancangan itu menerima tentangan daripada sebahagian ahli politik pembangkang termasuk parti Kuomintang (KMT) yang membangkitkan kebimbangan berkaitan isu keselamatan dan pekerja asing melarikan diri.
Ketua Parti Kuasa Baharu cawangan Kaohsiung, Wang Yi-heng turut mengecam papan iklan Lee dan menyifatkannya sebagai 'amat jahil' kerana meletakkan simbol larangan ke atas bendera India serta turban yang dianggap lambang maruah dan kepercayaan masyarakat Sikh.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

