Kacang dan kurma antara kiriman popular jemaah haji

MAKKAH – Menjelang kemuncak ibadah haji di Arafah, trend penghantaran barang oleh jemaah haji Malaysia ke tanah air dilihat semakin meningkat apabila jumlah kiriman kini mencecah lima tan sehari.
Penolong Pengurus Masyair Unit Perkhidmatan Luar, Mohd Roshidi Loman berkata, peningkatan itu berlaku apabila ramai jemaah memilih menghantar awal barangan mereka sebelum wukuf bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah.
“Sejak mula beroperasi pada 18 April lalu, purata penghantaran sehari mencecah lima tan dan kita jangka jumlah keseluruhan musim ini boleh meningkat kepada 400 tan berbanding kira-kira 300 tan tahun lalu.
“Kebanyakan jemaah mahu menyelesaikan urusan penghantaran lebih awal supaya selepas ini mereka dapat fokus kepada ibadah di Arafah dan Mina,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, antara barangan paling banyak dihantar ialah makanan seperti kurma, kacang dan pelbagai jenis snek selain cenderamata seperti jubah serta barangan kenangan dari Tanah Suci.
Menurutnya, jemaah dari Selangor direkodkan paling banyak menggunakan perkhidmatan penghantaran setakat ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Tabung Haji (TH) melantik lima syarikat bagi mengendalikan urusan penghantaran bagasi dan barangan jemaah pada musim haji kali ini.
Antara syarikat berkenaan ialah MASkargo Logistics Sdn Bhd, FGV Transport Services Sdn Bhd, TH Travel & Services Sdn Bhd, KTH Logistics Sdn Bhd dan Pos Malaysia Berhad.
“Kesemua syarikat ini melalui proses penilaian tertentu termasuk aspek kewangan, operasi di Tanah Suci dan tanah air serta kemudahan sistem ‘track and trace’ untuk menjejaki barangan jemaah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi penghantaran di Madinah telah ditutup buat sementara waktu namun akan kembali beroperasi selepas musim wukuf.
“Bagaimanapun, tidak semua syarikat akan beroperasi di Madinah selepas wukuf nanti.
“Buat masa ini operasi di Makkah lebih sibuk dan permintaan meningkat ketara dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya.
Beliau berkata, kadar penghantaran yang ditetapkan TH ialah RM18 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia manakala Sabah dan Sarawak RM23 sekilogram.
Katanya, kadar berkenaan kekal sama seperti tahun lalu dan tempoh penghantaran yang dipersetujui adalah antara tujuh hingga 21 hari.
Menurutnya, setakat ini tiada cukai dikenakan terhadap penghantaran barang jemaah yang dibuat menerusi syarikat dilantik TH.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan jemaah supaya menggunakan perkhidmatan syarikat yang dilantik TH bagi mengelakkan sebarang masalah termasuk kehilangan atau kerosakan barang.
Katanya, TH tidak bertanggungjawab terhadap sebarang isu melibatkan syarikat penghantaran yang tidak dilantik secara rasmi.
“Kita nasihatkan jemaah menggunakan syarikat yang dilantik kerana lebih mudah untuk urusan pemantauan dan tindakan jika berlaku masalah.
“Jika berlaku kerosakan atau kehilangan, jemaah boleh membuat aduan kepada TH dan kita akan panjangkan kepada syarikat berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan bahawa penghantaran air zamzam tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran khusus daripada TH.
Menurut salah seorang jemaah haji Malaysia, KJ Asneh @ Hasnah Alim @ Abdul Halim dari Keningau, Sabah, dia memanfaatkan perkhidmatan pos yang disediakan di Tanah Suci bagi menghantar pelbagai barangan kepada ahli keluarga di tanah air.
Beliau berkata, antara barangan yang diposkan termasuk sejadah, minyak wangi serta beberapa buah tangan untuk saudara-mara dan anaknya di Sabah.
Menurutnya, dia yakin barangan tersebut akan selamat sampai ke destinasi dan memuji kemudahan perkhidmatan pos yang banyak membantu memudahkan urusan jemaah haji.
“Terima kasih kepada perkhidmatan pejabat pos di sini kerana memudahkan jemaah haji menghantar barangan pulang ke tanah air,” katanya.
Sementara itu, Nurzana Abdul Ghani dari Dungun, Terengganu pula mengambil langkah menghantar pulang sebahagian barangan ke tanah air lebih awal bagi mengurangkan beban bagasi sebelum pulang nanti.
“Tujuan saya pos awal ini untuk meringankan beban kerana bagasi hanya 30 kilogram. Selepas ini saya tak perlu lagi fikir pasal barang, sebaliknya boleh fokus kepada ibadah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

