Bandingan federalisme simbolik Malaysia dan desentralisasi substantif Indonesia

DISKUSI mengenai federalisme dan sentralisme di Malaysia serta desentralisasi di Indonesia sebagaimana yang digagas badan pemikir The Future, Malaysia, semalam, 19 Mei 2026, membuka ruang refleksi penting tentang bagaimana negara-negara Asia Tenggara mengurus keseimbangan antara pusat dan negeri.
Saya berbesar hati dijemput untuk memberi pandangan dalam diskusi tersebut bersama-sama Datuk Profesor Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Puan Aira Nur Ariana Azharisaya, Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
Hasilnya, saya telah membagikan pandangan mengingat sekarang ini baik di Malaysia dan Indonesi, ia diperdepatkan dengan hangat, terutama terkait dengan eksistensi dan dampak bagi negeri-negeri dalam soal agihan keadilan.
Federalisme, sebagaimana didefinisikan dalam literatur klasik seperti K.C. Wheare dalam Federal Government (1963), adalah pembahagian kuasa antara pemerintah pusat dan negeri berdasarkan prinsip shared sovereignty. Namun, praktik di Malaysia dan Indonesia menunjukkan variasi yang signifikan antara teori dan realiti politik.
Federalisme Malaysia: Simbolik dan Terkawal
Sejarah federalisme Malaysia bermula daripada Persekutuan Tanah Melayu 1948 hingga pembentukan Malaysia pada 1963. Sabah dan Sarawak diberikan autonomi khas, terutama dalam hal imigresen, agama, dan bahasa.
Namun, realiti semasa menunjukkan dominasi pusat yang kuat, khususnya dalam bidang fiskal dan pendidikan. Isu royalti minyak serta tuntutan Sabah dan Sarawak menjadi bukti keterbatasan otonomi negeri. Federalisme di Malaysia lebih bersifat simbolik, di mana kuasa substantif tetap terkonsentrasi di Putrajaya.
Begitupun, kelebihan sistem ini adalah kestabilan dan penyelarasan dasar nasional. Namun, risikonya ialah ketidakseimbangan pembangunan antara negeri, potensi konflik pusat-negeri serta keterbatasan inovasi dasar tempatan.
Literatur seperti Harding & Chin dalam Federalism and Decentralisation in Malaysia (2014) menegaskan bahawa federalisme Malaysia lebih merupakan instrumen politik untuk menjaga integrasi nasional daripada mekanisme pengagihan kuasa yang sejati. Bagi saya, keadaan ini tetap akan menimbulkan isu ketidakadilan negeri dari banyak aspek terutama ekonomi, pembangunan dan implikasinya.
Saya di Indonesia turut terbaca titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 pada 8 Mei mengenai “keadilan undang-undang Persekutuan yang tidak berpihak kepada hak-hak negeri.”
Malahan saya difahamkan ini bukan pertama kali teguran dibuat oleh beberapa pihak di daerah mengenai cara hubungan federalisme di Malaysia dikelola yang didakwa berat sebelah dan tidak menghormati roh asal federalisme, iaitu hubungan perkongsian kuasa yang saling menghormati antara pusat dan daerah.
Desentralisasi Indonesia: Substantif dan Luas
Sebaliknya, Indonesia pasca-Reformasi 1998 mengadopsi desentralisasi luas melalui UU No. 22/1999 dan UU No. 32/2004. Ketua daerah dipilih secara langsung dan pemerintah daerah memiliki kewenangan besar dalam pendidikan, kesihatan, serta pembangunan ekonomi tempatan.
Desentralisasi ini membawa kelebihan berupa demokratisasi tempatan, responsiviti terhadap keperluan masyarakat serta inovasi dasar daerah. Buku Decentralization and Democracy in Indonesia oleh Edward Aspinall & Greg Fealy (2003) menekankan bahawa desentralisasi menjadi asas penting bagi konsolidasi demokrasi di Indonesia.
Namun risiko yang muncul tidak kecil, antaranya berbentuk korupsi tempatan, fragmentasi politik serta ketidakseragaman dasar antara daerah. Fenomena raja kecil di daerah menunjukkan bahawa desentralisasi tanpa pengawasan berkesan dapat melahirkan oligarki tempatan.
Meski demikian, desentralisasi Indonesia tetap lebih substantif berbanding federalisme Malaysia kerana ia memberikan ruang nyata bagi partisipasi masyarakat dan penguatan identiti tempatan.
Analisis Perbandingan
Perbandingan Malaysia dan Indonesia menunjukkan dua model yang kontras. Malaysia mengedepankan federalisme terkawal, di mana pusat tetap dominan sementara Indonesia menekankan desentralisasi luas dengan segala risiko dan peluangnya. Federalisme Malaysia lebih menekankan integrasi dan kestabilan sedangkan desentralisasi Indonesia lebih menekankan demokratisasi dan partisipasi.
Pelajaran penting daripada kedua-dua kes ialah perlunya keseimbangan antara pusat dan daerah. Federalisme yang terlalu simbolik berisiko menimbulkan ketidakpuasan daerah sementara desentralisasi yang terlalu luas berisiko menimbulkan fragmentasi dan ketidakstabilan.
Seperti ditegaskan oleh Daniel J. Elazar dalam Exploring Federalism (1987), kunci kejayaan sistem pemerintahan terletak pada kemampuan membangun mekanisme keseimbangan kuasa yang adaptif terhadap konteks sosio-politik.
Bagi Malaysia, cabaran utama adalah memperkuatkan autonomi substantif Sabah dan Sarawak agar tidak sekadar simbolik, demikian juga negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan lainnya.
Isu royalti minyak dan pendidikan juga alam sekitar dalam pembangunan harus ditangani dengan pendekatan yang lebih adil agar tidak menimbulkan ketidakpuasan politik. Federalisme Malaysia perlu bergerak daripada sekadar struktur formal menuju praktik substantif yang memberi ruang inovasi dasar tempatan.
Bagi Indonesia, cabaran utama adalah memperbaiki tadbir urus desentralisasi. Mekanisme pengawasan terhadap pemerintah daerah harus diperkukuh untuk mencegah korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Selain itu, koordinasi dasar antara daerah perlu ditingkatkan agar tidak menimbulkan ketidakseragaman yang merugikan pembangunan nasional.
Kesimpulannya, federalisme Malaysia dan desentralisasi Indonesia adalah dua eksperimen politik yang mencerminkan dilema klasik antara kestabilan dan demokratisasi. Malaysia memilih kestabilan dengan risiko keterbatasan autonomi sementara Indonesia memilih demokratisasi dengan risiko fragmentasi.
Pelajaran yang dapat diambil ialah bahawa keseimbangan antara pusat dan daerah merupakan kunci kejayaan tadbir urus negara. Tanpa keseimbangan tersebut, baik federalisme mahupun desentralisasi akan menghadapi cabaran serius dalam menjaga integrasi nasional dan mendorong pembangunan berkelanjutan.
Di sisi lain, autonomi negeri harus memberi peluang demokrasi yang lebih luas dalam urusan pemerintahan dan masyarakat serta inovasi yang lebih menjana pembangunan yang adil.
* Penulis ialah Pensyarah Politik di Universiti Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia dan Research Fellow di The Future, Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
