Aaron-Wooi Yik bangkit mara ke pusingan kedua Malaysia Masters

Aaron-Wooi Yik (kanan) ketika menentang Eng Keat Wesley- Kubo dalam Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama
Aaron-Wooi Yik (kanan) ketika menentang Eng Keat Wesley- Kubo dalam Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

 

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit daripada permulaan goyah sebelum mara ke pusingan kedua Kejohanan Malaysia Masters 2026 di Arena Unifi di sini hari ini.

 

Selaku pilihan utama kejohanan, Aaron-Wooi Yik dikejutkan pasangan Singapura, Wesley Koh-Kubo Junsuke pada aksi pembukaan apabila tewas 19-21 pada set pertama.

 

Bagaimanapun, juara dunia 2022 itu kembali menyusun rentak dengan aksi lebih kemas untuk menguasai dua set berikutnya 21-10, 21-12 dalam tempoh 45 minit sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung ke atas pasangan dari Singapura berkenaan.

 

Wooi Yik berkata, mereka gagal menampilkan permainan terbaik pada set pertama, namun berjaya memanfaatkan kesilapan lawan dalam dua set berikutnya.

 

Artikel Berkaitan:

"Set kedua dan ketiga kami bermain seperti set pertama juga, cuma kami berjaya mengambil kesempatan selepas pihak lawan banyak melakukan kesilapan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

 

Pasangan ranking kedua dunia itu bakal berdepan pemenang antara gandingan Perancis, Julien Maio-William Villeger atau pasangan kembar Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley pada pusingan kedua esok.

 

Sementara itu, dua lagi beregu negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Kang Khai Xing-Aaron Tai turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 500 itu selepas melepasi halangan pertama masing-masing.

 

Pilihan kelima, Wan Arif-Roy King dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan Taiwan, He Zhi-Wei-Huang Jui-Hsuan 21-19, 15-21, 21-11.

 

Khai Xing-Aaron pula bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan satu lagi pasangan Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng 17-21, 21-19, 21-16.

 

Dalam pada itu, pasangan profesional negara yang juga pilihan ketiga, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan wakil Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana 21-10, 21-14 dalam tempoh 30 minit.

 

Walaupun menang straight set, Sze Fei mengakui pasangan Indonesia itu tetap memberi tentangan sengit, namun lega apabila mereka berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan.

 

Sze Fei-Nur Izzuddin akan membuat perhitungan sesama sendiri dengan pasangan profesional negara, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi pada pusingan kedua selepas pasangan itu menewaskan wakil Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman 21-18, 21-15.- Bernama

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!